Bekas tentera tak setuju dan malu ada pesara tentera buat laporan polis Pandelela dan Jun Hoong dapat pencen

Ketika pungutan pingat oleh atlet Malaysia di temasya Olimpik masih diperkatakan, laporan polis oleh seorang bekas tentera yang membangkitkan isu pencen bulanan oleh kerajaan menarik perhatian.

Bekas tentera tak setuju pertikai pencen atlet

Bekas tentera tak setuju pertikai pencen atlet

Bekas tentera tak setuju pertikai pencen atlet

Dalam aduannya di Balai Polis Gurun di Kedah, Rozzeli Pin tidak berpuas hati dengan imbuhan bulanan RM3,000 diberi untuk dua penerjun negara – Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong – selepas mereka merangkul pingat perak di Rio de Janeiro.

Baca artikel sebelum: Tak puas hati Pandelela dan Jun Hoong dapat pencen RM3 ribu sebulan, pesara tentera buat laporan polis

Untuk mengetahui sama ada sentimen Rozzeli itu turut dikongsi bekas tentera yang lain Malaysiakini menghubungi dua veteran untuk mendapatkan pandangan mereka.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata menyamakan atlet dengan tentera adalah seperti “membandingkan epal dengan oren”.

“Ia tidak boleh dibandingkan. (Bekas tentera) berjuang untuk negara dan sesetengahnya kehilangan anggota badan, buta dan ada antara mereka ditembusi peluru.

“Justeru mereka (anggota tentera) perlu diberi penghargaan istimewa,” katanya.

Bagaimanapun kata Mohd Anwar atlet juga berjuang untuk negara dan mengharumkan nama Malaysia.

“Mereka membawa nama negara, mengibarkan Jalur Gemilang di arena Olimpik,” katanya.

Mohd Anwar juga yakin kerajaan tetap menghargai dan mengiktiraf pengorbanan dilakukan anggota keselamatan di negara ini.

Namun katanya mewakili Malaysia di persada antarabangsa juga satu bentuk pengiktirafan.

Pernah patah kaki

Pada 14 Ogos lalu Malaysiakini melaporkan Rozzeli sebagai berkata, jasa tentera dan pihak keselamatan negara ini lebih tinggi nilainya berbanding atlet yang “hanya terjun dari atas papan” di Olimpik.

“Saya pesara tentera tapi bagi orang yang berjuang untuk negara ni – askar, polis yang pergi Lubnan (sampai) patah kaki – kenapa tak beri pencen?

“Yang terjun payung dari atas langit sampai ke bawah tak dapat pencen pun, tapi yang terjun papan dikata mengharumkan nama Malaysia dan diberi pencen.

“Saya tengok lompatan yang mereka buat itu tak setaraf pencen yang mereka dapat,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden Persatuan Bekas Tentera Sikh Malaysia (MAFSVA) Harjit Singh Rendawa melabel Rozelli sebagai “bodoh” kerana membuat laporan polis.

Katanya seseorang tentera faham apa yang menunggu mereka ketika menyertai pasukan keselamatan berkenaan.

“Seseorang tentera tidak meminta-minta. Saya tidak ada rasa hormat kepada orang yang membuat laporan polis itu, malah saya malu dengan tindakan itu,” katanya.

Tentera, kata Harjit Singh, diberi penghargaan mengikut apa yang mereka sumbangkan kepada negara, seperti anggota biasa yang menerima pencen bulanan.

Harjit Singh sendiri memberitahu kakinya pernah patah ketika bertugas.

“Saya bersetuju menyertai tentera dan saya menganggapnya sebagai suatu penghormatan.

“Membandingkan kemenangan atlet kita di Olimpik dan penghargaan yang mereka terima, bagi saya, adalah perbuatan sangat mengarut,” katanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini dilaporkan berkata RM58.89 juta diperuntukkan sebagai sebahagian daripada kenaikan gaji untuk anggota tentera mulai 1 Julai lalu.

Beliau juga mengumumkan veteran tentera yang tamat perkhidmatan antara 1 Januari 2013 hingga 20 Jun 2016 akan mendapat saguhati melalui peruntukan bernilai RM56.62 juta.

 

Sumber: Malaysiakini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Related Posts :

0 Response to "Bekas tentera tak setuju dan malu ada pesara tentera buat laporan polis Pandelela dan Jun Hoong dapat pencen"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect