JAGUH badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei malam tadi sebak ketika mengulas tentang pencapaiannya setakat ini termasuk kejayaan beliau ke pentas final badminton Olimpik Rio 2016 setelah jatuh bangun yang dialaminya sebelum ini.
Air mata Chong Wei hampir gugur
Air mata Chong Wei hampir gugur
Beliau kelihatan cuba mengawal perasaan ketika ditanya wartawan Astro Arena sebaik beliau berjaya menumpaskan seteru utamanya, Lin Dan dalam aksi tiga set 15-21, 21-11, 22-20 di pentas separuh akhir.
“Selepas (Olimpik) London 2012 kemudian dengan pelbagai cabaran termasuk penggantungan, Datuk pernah membayangkan Datuk boleh kembali ke final Olimpik?” tanya wartawan tersebut.
Selepas mendengar soalan tersebut, Chong Wei terus sebak dan suaranya bergetar cuba dan memandang ke atas menahan air matanya daripada gugur.
“Mungkin saya tak pernah sangka. Mungkin kesusahan itu saya yang tahu sendiri. Saya (memang) tak sangka boleh sampai ke final dan boleh kembali menjadi nombor satu dunia balik. Saya akan cuba lagi esok,” katanya dengan nada sebak.
Beliau kembali merampas status pemain nombor satu dunia selepas berjaya merangkul gelaran juara Terbuka Indonesia, Jun lalu.
Chong Wei akan bertemu seorang lagi pemain dari China, Chen Long malam ini di pentas akhir penentuan pingat emas dan perak.
Pada Olimpik London 2012, Chong Wei tewas kepada Lin Dan dalam aksi tiga set 21-15, 10-21, 19-21.
Pada 30 Ogos 2014, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenakan hukuman penggantungan selama lapan bulan terhadap Chong Wei atas kesalahan menggunakan bahan terlarang jenis dexamethasone.
Bahan terlarang itu dikatakan berpunca daripada ubatan herba yang diambilnya dalam bentuk kapsul.
Sumber: Sinar Harian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Response to "Air mata Lee Chong Wei hampir gugur"
Post a Comment