Suasana Pilu Iringi Pengebumian Allahyarham Ibu Anak
SUNGAI DUA - Suasana hiba menyelubungi ketika pengkebumian Allahyarham Nurul Syazeila Iryani Suhaimi, 28 dan anaknya, Hanna Humaira Mohd Hasnun yang berusia setahun setengah di Tanah Perkuburan Islam, Pekan Darat, di sini, malam tadi.
Mayat kedua mangsa kemalangan maut ini dibawa dari Hospital Kuala Kubu Bahru dan tiba sekitar jam 11.30 malam.
Dalam kejadian kira kira jam 9.15 pagi itu, Nurul Syazeila Iryani Suhaimi,28 dan anaknya, Hanna Humaira Mohd Hasnun maut dalam kemalangan melibatkan 16 kenderaan di Kilometer 405.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) pagi semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu & Anak 18 Bulan Maut Dalam Kemalangan Libatkan 16 Kenderaan
Ayah mangsa, Suhaimi Salleh, 58, berkata arwah anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.
"Arwah berkelakuan seperti biasa, tiada sebarang perubahan.
"Saya sentiasa ajar anak-anak saya, kalau nak keluar rumah mereka akan cium tangan saya dan isteri, Haridan Awang, 57, dan itu kali terakhir saya bertemu dengannya dan arwah cucu saya pagi kelmarin," katanya.
Katanya, anak ketiga dari lima beradik yang mesra disapa dengan panggilan Kak Lang itu merupakan seorang yang ceria dan mesra dengan seluruh ahli keluarga.
"Arwah seorang yang disayangi dalam keluarga, seorang yang baik dan mesra.
"Tak pernah ada sesekali dia meninggikan suaranya kepada saya atau ibunya, apa-apa dia akan rujuk kepada saya atau ibunya, sikapnya amat menghormati orang tua," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Tok Jaya, semalam.
Mengakui masih sedih dengan kehilangan anaknya itu, katanya bagaimanapun perkara ini diterima sebagai ketentuan daripada Illahi.
"Siapa yang tidak sedih, bayangkan anak sendiri, yang selama ini di depan mata, dengan gelak tawanya, gurau sendanya, tiba-tiba hilang, memang sedih, ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya.
"Namun sebagai seorang Muslim, saya harus menerima ujian ini dengan redha, ini hakikat yang perlu kami sekeluarga terima dan teruskan kehidupan tanpa arwah disisi," katanya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Response to "Suasana Pilu Iringi Pengebumian Allahyarham Ibu Anak"
Post a Comment