Penumpang MH01 sangka akan temui ajal, pesawat seakan-akan terhentak ke bawah sebelum melambung

Penumpang pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH01, yang mengalami gegaran udara ketika dalam perjalanan dari London ke Kuala Lumpur menyangka beliau akan menemui ajal ketika gegaran menakutkan itu berlaku.

Penumpang MH01 sangka akan mati

Penumpang MH01 sangka akan mati

Wanita warga Singapura berusia dalam lingkungan 50-an itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Mary, berkata, gegaran udara itu berlaku kira-kira lima minit dalam masa tiga jam sebelum pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

“Saya duduk di bahagian dek atas. Pesawat itu seakan-akan terhentak ke bawah sebelum melambung semula ke atas. Ketika itu, anak kapal hendak mengedarkan makanan kepada penumpang… saya lihat bungkusan makanan bertaburan daripada troli makanan.

“Saya juga nampak seorang pramugari terhantuk kepalanya sebelum terjatuh dan luka di lutut,” katanya sambil memberitahu juruterbang turut membuat pengumuman meminta semua penumpang memakai tali pinggang keselamatan semasa insiden itu.

Mary, yang tidak cedara dalam kejadian itu, ditemui ketika menemani temannya seorang warga Malaysia mendapatkan rawatan kerana kecederaan di tulang pinggul di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya.

Beliau yang merancang bercuti beberapa hari di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Singapura, tidak menyangka akan menghabiskan masanya di Hospital Putrajaya selepas tiba dari London.

Setakat 10.30 malam tadi, lima penumpang MH01 yang cedara dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.

MAB dalam kenyataannya hari ini berkata, beberapa penumpang dan anak kapalnya cedera ringan apabila pesawat MH01 itu, yang dalam penerbangan dari London ke Kuala Lumpur, mengalami gegaran udara teruk ketika berada di ruang udara Teluk Bengal.

Pesawat jenis Airbus A380 itu bagaimanapun, selamat mendarat bersama 378 penumpang dan anak kapal di KLIA pada 6 petang tadi.

Sejumlah kecil penumpang dan anak kapal yang cedera diberi rawatan oleh pegawai perubatan sejurus pesawat itu mendarat di KLIA. Kenyataan itu menyebut MAB telah membantu kesemua penumpang dan anak kapal serta memohon maaf di atas sebarang kesulitan berikutan keadaan cuaca yang di luar kawalan. -BERNAMA

 

Sumber: Harian Metro

Related Posts :

0 Response to "Penumpang MH01 sangka akan temui ajal, pesawat seakan-akan terhentak ke bawah sebelum melambung"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect