Hartawan kosmetik ‘cantik gebu dalam masa singkat’ kantoi jual produk palsu, tidak diluluskan KKM
Kota Bharu: Penjual kosmetik di negeri ini yang menjual produk kecantikan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), didapati hidup mewah hasil penjualan barangan itu yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan terutama menerusi dalam talian.
Mereka mampu berkereta mewah, membina rumah besar, mempunyai stor penyimpanan dan menggaji pekerja untuk memantau produk kosmetik yang diambil dari beberapa negara termasuk negara jiran.
Timbalan Pengarah Farmasi Negeri Shaikh Nurudin Shaik Shahrudin berkata, penjual pandai mengumpan pelanggan apabila menggunakan iklan testimoni pengguna yang menjadi ‘cantik dan gebu’ dalam masa singkat selepas menggunakan produk mereka.
Hartawan kosmetik ‘cantik gebu dalam masa singkat’ kantoi jual produk palsu, tidak diluluskan KKM
“Realitinya mereka tidak begitu sebaliknya teknik suntingan gambar menjadikan wajah mereka lebih cantik sebelum memuat naik di dalam laman sosial bagi menarik pelanggan.
“Tindakan itu menyebabkan pengguna terpedaya dan membeli produk walaupun tahu kesan sampingan termasuk kanser kulit kerana kandungan bahan kimia merkuri yang sangat tinggi, sekali gus memberi pulangan lumayan kepada penjual kosmetik ini,” katanya ketika ditemui di Pejabat Bahagian Perkhidmatan Farmasi negeri, semalam.
Menurutnya, faktor harga murah juga menarik pengguna wanita supaya mendapatkan produk yang dijual mereka berbanding produk yang mendapat kelulusan KKM harganya lebih mahal mencecah ratusan ringgit.
“Oleh itu, kami menasihatkan pengguna supaya berhati-hati sebelum membeli produk kosmetik dalam talian kerana kebanyakannya membahayakan kesihatan.
“Iklan yang digunakan mereka seperti lulus KKM tidak benar kerana kandungan bahan kimia dalam produk mereka sangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata, pemborong dan penjual kosmetik dalam talian boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Jualan Dadah 1952 iaitu denda dan penjara lima tahun serta Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda dan penjara dua tahun.
Katanya, kesalahan pertama, penjual kosmetik akan dikenakan denda dan kesalahan kedua atau berulang mereka boleh dipenjara.
Pada masa sama, beliau berkata, laman web penjual atau pemilik kosmetik yang dirampas juga akan ditutup menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Keterangan gambar:
1. ANTARA kosmetik berbahaya yang dijual di dalam talian.
2. Timbalan Pengarah Farmasi Shaikh Nurudin Shaik Shahrudin (tengah) menunjukkan kosmetik berbahaya yang di rampas daripada penjual dalam talian.
Sumber : Metro
0 Response to "Hartawan kosmetik ‘cantik gebu dalam masa singkat’ kantoi jual produk palsu, tidak diluluskan KKM"
Post a Comment