KHAIRUL ZAMAN KHOBIN
Judul: BUKAN SUNDAL MALAM
BAB 2 (bahagian 2)
‘Tuan, ini lelaki yang jumpa mayat semalam’
Lelaki itu masih menyanyi. Jikalaulah si gadis itu bangun, mungkinkah dia akan menghentikan nyanyian sumbang lelaki ini? Entahlah!
Akhirnya nyanyiannya terhenti sendiri semasa dia sibuk menyarungkan pakaiannya. Selesai melekatkan kesemua pakaiannya di badan, dia maju ke arah gadis yang terbaring lemah, sedang tidur nyenyak dan diulit mimpi indah selepas mengharungi malam yang penuh berahi.
Dia membuka dompetnya dan mengeluarkan duit RM100 sebanyak 10 keping dan melemparkannya ke atas selimut gadis itu.
“Kau memang ada badan yang perfect. Aku puas malam ni. Thank you,” Lelaki itu senyum kepada gadis itu dan beredar dari kamar hotel mewah itu.
Siapa wanita itu? Gadis itu adalah Anis.
Usah pedulikan siapa Anis buat sementara. Jantan itu sekali lagi membuka mulut, menyanyikan lagu ‘Gadis Melayu’, sambil berjalan di lorong bilik menuju ke lif. Aduhai.
……
“Salleh?” itu saja yang terungkap dari bibir Dollah yang motornya rosak malam tadi. Selepas itu, dia tidak tunggu lama. Terus dia pulang, meninggalkan motornya di situ dan melaporkan kepada polis selepas tiba di rumah rakannya yang berdekatan. Nasib baik!
Malah, ini juga sebenarnya adalah kali pertama dia menekan punat nombor khas tiga digit itu. 9…9…9…
“Bagaimana kalau diorang ingat aku main-main?”
“Dollah, kenapalah kau bodoh sangat! Kau call ni sebab kau serius nak lapor kes! Bukannya nak main-main. Kau ni macam budak-budaklah!” kata rakannya itu.
“A’ah, ye tak ye jugak.”
Dia gugup kalau-kalau panggilannya disalah anggap sebagai panggilan palsu. Jenuh rakannya cuba untuk meyakinkan Dollah. Jika perkara terburuk pada dirinya itu terjadi, maka denda yang dikenakan memang akan memberikan kesan kepada ekonomi rumah tangganya. Itulah yang dia sedang analisa di dalam kepala. Malah, dia sendiri akan malu apabila orang yang tua sepertinya didakwa melakukan panggilan palsu kepada pihak berkepentingan.
Namun, gelabah terlampau yang dia alami reda apabila panggilannya berjaya diselesaikan dengan sempurna. Setelah dia melaporkan semua yang dia nampak kepadaoperator, diletakkan ganggang telefon dengan perasaan lega.
Bukan apa, dia berjaya melakukan satu tanggungjawab yang akhirnya memberikan pahala kepada dirinya.
Hari berikutnya, atas dasar kerja dan tanggungjawab, beberapa orang polis mengerumuni kawasan mayat Salleh. Mereka diiringi beberapa orang pegawai yang memang komited untuk menjalankan tugas.
Inspektor Kamal ialah antara polis segak di kawasan kejadian. Intro masuknya watak ini boleh dibayangkan jika anda selalu menonton drama bersiri ‘CSI: Miami’ dan menggemari watak Horatio.
“Mayat ni masih baru. Confirm!” Tanda-tanda yang dilihat oleh Inspektor Kamal, pegawai yang ditugaskan untuk kes ini mengesahkan kenyataan lelaki macho itu. Namun, pengesahan lebih lanjut akan dilakukan di makmal sebentar lagi.
Inspektor Kamal khusyuk memerhatikan mayat sebelum beberapa orang polis mengangkatnya masuk ke dalam beg hitam untuk dibawa menjalani autopsi.
Gayanya tak ubah seperti Horatio dalam drama bersiri luar negara itu. Sebijik! Cuma mungkin rambutnya sahaja tidak berwarna kuning-hijau bak warna bendera Kedah. Lagaknya nampak segak dan cuba mengawal tingkah lakunya tersendiri. Kononnya, dia mahu menjadi macho seperti apa yang dipaparkan oleh karakter kegemarannya itu.
Semasa dia memasangkan kembali kaca matanya di mata, pembantunya datang bersama Dollah, orang pertama yang bertemu dengan mayat itu malam semalam. Dia ialah saksi kepada penemuan mayat tersebut!
“Tuan, ini lelaki yang jumpa mayat ni semalam.”
Dollah memang nampak gelabah. Namun, dia masih gagah untuk menguntum senyuman. Bukan apa, dia takut kalau dia dituduh menjadi pembunuh Salleh.
Dollah kadang kala menunduk hormat, jarinya bermain-main di antara satu sama lain. Dia gelabah. Inspektor Kamal sedar tingkah laku lelaki itu tetapi seperti biasa, dia juga perlu jadi macho. Biarkan saja tingkah lakunya itu.
“Siapa nama kau?”
“Doll.. Doll.. Dollah, tuan!”
Inspektor Kamal memberi isyarat mata kepada rakan sekerja itu supaya bergerak meninggalkan mereka berdua. Dia faham Dollah perlukan ruang untuk bercakap tentang hal semalam. Sekarang, Inspektor Kamal berdua dengan lelaki itu di satu sudut, dan anggota polis lain sibuk memeriksa kawasan kejadian.
“Kamu nampak macam gelabah,” selepas beberapa lama, itulah perkataan yang diucap kepada lelaki itu.
Inspektor Kamal menarik nafas dalam dalam. Dia tersenyum. Dia angkat tangan kanannya dan letak di atas bahu lelaki itu. Lelaki itu tersentak saat tangan Inspektor Kamal hinggap lembut di bahu. Mukanya mula berpeluh. Dollah bimbang polis di hadapannya bertanya soalan bukan-bukan.
“Relaks. Saya Cuma nak tahu beberapa perkara. Saya hanya nak maklumat. Tak lebih dari itu. Jangan risau, saya takkan tangkap kamu,” jelas Inspektor Kamal. Gayanya seolah-olah Jalaluddin Hassan pula jikalau diamati.
Debar Dollah turun sedikit apabila suara Inspektor Kamal berjaya meyakinkan tentang keadaan dirinya. Memang Dollah tak bersalah pun. Dollah saja yang terlebih takut.
“Oh, ingatkan saya dah nak kena tangkap tadi. Kalau macam tu takpelah. Apa soalannya?” Dollah bertanya. Tangannya digenggam dek kerana gementar yang cuba dia sembunyikan.
Inspektor Kamal menarik nafas, dan selepas itu dia bersuara, “Kamu kenal siapa mangsa?”
Dollah mengatur kata.
“Namanya Salleh. Dia suami kepada Rubiah. Rumahnya nun di kampung sana. Rumah paling hujung,” jelas lelaki itu sambil menundingkan jarinya ke arah yang dia maksudkan. Inspektor Kamal mengekori jari telunjuk Dollah. Inspektor Kamal melihat ke arah yang ditunjuk dan mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan.
Polis perasan macho itu bergerak meninggalkan lelaki itu keseorangan selepas mengucapkan terima kasih apabila salah seorang anggota polis memanggilnya dari jauh.
“Lega,” kata lelaki itu.
(bersambung…)
*BUKAN SUNDAL MALAM adalah sebuah novel karya Khairul Zaman Khobin. Secara keseluruhannya, ia menggunakan isu semasa iaitu jenayah pelacuran dan pinjaman wang tanpa lesen sebagai latar cerita. – WhatsApp ke 011-2906 1240 atau terus ke mall.karangkraf.com untuk pembelian buku.
Sumber: Sinar Harian
0 Response to "‘Tuan, ini lelaki yang jumpa mayat semalam’: BUKAN SUNDAL MALAM"
Post a Comment