Seorang bekas menteri mengkritik pegawai-pegawai kanan kerajaan yang tidak mengendahkan kerosakan sebuah tandas awam di pusat pentadbiran negara yang turut dijadikan lokasi tarikan pelancong.
Tandas awam itu di tepi Kelab Tasik Putrajaya
Tan Sri Zainudin Maidin tidak berpuas hati dengan tandas awam itu, di tepi Kelab Tasik Putrajaya, yang masih tidak diperbaiki walau didakwanya “sudah rosak bertahun-tahun”.
“Inilah contoh sikap pegawai-pegawai kerajaan bawah pimpinan ketua setiausaha negara yang tinggal berhampiran,” tulis bekas menteri penerangan itu, yang kalah pada pilihan raya 2008.
“Tandas tidak penting. Banyak urusan lebih besar lagi,” tweetnya, bekas tokoh media yang berpengaruh besar, dengan nada sinis pagi semalam sambil melekatkan dua keping gambar.
Foto pertama menunjukkan ruang buang air kecil berdiri dibungkus dengan plastik kuning, sementara satu lagi memaparkan air terbuang membazir di dalam sebuah takungan.
Bagaimanapun tidak pasti bila foto itu dirakam atau sama ada Zainudin, bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu yang lebih popular dipanggil Zam, melawat sendiri tandas tersebut.
Selain restoran dan kafe, Kelab Tasik Putrajaya menyediakan kemudahan sukan air untuk pengunjung.
Ia terletak di tepi pejabat Polis Marin Putrajaya di Jalan P8, Presint 8, tidak sampai 10 minit berkereta dari restoran miliknya Zam Newsroom Cafe di Ayer @8.
Menurut maklumat di Internet, restoran kelab ini sering dikunjungi menteri dan orang kenamaan, selain kemudahan sukan airnya antara yang baik di negara ini.
ProjekMMO sedang mendapatkan reaksi daripada Perbadanan Putrajaya, pentadbir bandar ini, berhubung keadaan tandas tersebut.
Sumber: The Malay Mail Online
0 Response to "Tandas di tepi Kelab Tasik Putrajaya tak dibaiki bertahun, bekas menteri kritik pegawai-pegawai kerajaan"
Post a Comment