Pengunjung bakar asap sembah artifak Nabi di pameran ditangkap

Penganjur Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat telah menangkap dua hingga tiga individu yang dipercayai cuba memuja artifak yang dipamerkan.

Penangkapan itu dimaklumkan sendiri oleh penganjur, ANO Ventures Sdn Bhd kepada FMT. FMT menghubungi mereka bagi mengulas perdebatan sekitar pameran artifak yang dikhuatiri boleh membawa kepada khurafat.

Pengunjung cuba puja artifak nabi ditangkap

Pengunjung cuba puja artifak nabi ditangkap

“Sepanjang 10 hari pameran berjalan dengan baik, cuma terhadap dua, tiga pengunjung yang datang dan membuat pembakaran asap untuk melakukan upacara menyembah (khurafat), tetapi kita berjaya menahan dan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka,” kata timbalan pengurusnya, Shahrulnizam Baharudin.

Shahrulnizam menjelaskan pihak penganjur melarang sebarang aktiviti pemujaan artifak kerana pameran itu sekadar untuk penghayatan sejarah semata-mata.

“Kita ada 52 pegawai yang bertugas selama 24 jam yang terdiri daripada bekas-bekas komando, kita amat tegas tentang benda ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md Amin menjelaskan tujuan pameran itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia menghayati peninggalan Nabi Muhammad SAW dengan lebih dekat, terutamanya mereka yang tidak mampu ke luar negara.

“Tujuan pameran itu bukannya untuk menyembah bagi tujuan syirik. Lagipun kita tidak benarkan mana-mana pihak buat zikir serta pemujaan,” tegas Yaakub.

Lebih 40 artifak barangan peninggalan Rasullah yang dipamerkan di Masjid Al-Azim di Bukit Palah, Melaka antaranya rambut, kesan tapak kaki, capal, pedang, darah bekam, cop mohor dan kain penutup makam sempena Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat bermula 15 Mei sehingga 2 Jun.

Artifak diterbangkan dari Arab Saudi, Syria, India dan Brunei dengan kos keseluruhan RM4 juta. Penganjuran pameran itu dilaksanakan oleh Warisan MAR, Yayasan Pembangunan Insan Nusantara Malaysia menerusi Pakar Etnologi Tempatan, Prof Dr Abd Manan Embong dan ANO Ventures Sdn Bhd.

 

Sumber: Free Malaysia Today

0 Response to "Pengunjung bakar asap sembah artifak Nabi di pameran ditangkap"

Post a Comment