Nikah tak rasmi tapi nak selamat? Sila daftar sebelum Februari
Sebanyak 406 kes perkahwinan menggunakan saluran tidak sah termasuk bernikah di Selatan Thailand melibatkan pasangan di negeri ini, berjaya dikesan menerusi program pemutihan daftar perkahwinan yang dijalankan sejak Nov tahun lalu hingga 5 Jan lepas.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata program yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk membantu pasangan yang berkahwin tidak mengikuti Undang-undang Keluarga Islam Pahang selain membendung kegiatan perkahwinan menerusi sindiket.
Nikah tak rasmi tapi nak selamat? Sila daftar sebelum Februari
“Program ini diadakan sejak Nov tahun lepas sehingga 2 Feb depan untuk menggalakkan lebih ramai pasangan yang menggunakan saluran tidak sah untuk berkahwin, tampil mendaftarkan pernikahan mereka.
“Mereka tidak perlu takut kerana kita tidak akan mengenakan tindakan undang-undang, sebaliknya hanya perlu menjelaskan bayaran dokumentasi sahaja,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya setakat 5 Jan lepas, 406 pasangan telah tampil mendaftarkan perkahwinan mereka melibatkan sebanyak 197 kes melibatkan kes poligami manakala selebihnya 209 kes lagi monogami.
Beliau berkata ia turut melibatkan 13 kes perkahwinan rakyat negeri ini dengan pasangan warga asing iaitu Afrika, India, Indonesia, Thailand, Nepal dan Myanmar.
Mohamad Noor berkata, daripada pecahan mengikut daerah pula, Kuantan mencatatkan permohonan yang paling tinggi iaitu 140 kes (75 poligami dan 65 monogami) diikuti Pekan 45 kes (16 poligami dan 29 monogami), dan Chenor 34 kes (25 poligami dan 9 monogami).
Dalam program itu juga katanya pasangan terlibat akan dibantu melalui siasatan, sama ada perkahwinan yang dibuat mengikut syariat yang telah ditetapkan atau perlu dinikahkan semula dan sebagainya.
Difahamkan program yang dilaksanakan oleh Pahang itu turut mendapat perhatian dari negeri-negeri lain untuk mengambil langkah sama.— Bernama
Sumber : Malay Mail
0 Response to "Nikah tak rasmi tapi nak selamat? Sila daftar sebelum Februari"
Post a Comment