'Bayiku Tertukar Dengan Bayi Orang Lain'

JITRA - Sepasang suami isteri meluahkan rasa kesal mereka terhadap kecuaian kakitangan pusat perubatan swasta di Bandar Darulaman sehingga menyebabkan bayi perempuan mereka yang berusia tiga hari tertukar dengan bayi pasangan lain selepas bersalin Selasa lalu, lapor Harian Metro.

Nik Ahmad Sabri Mohamad Yusoff, 37 berkata, isterinya Mahani Zakaria, 36, selamat melahirkan bayi kelima mereka di pusat perubatan itu pada jam 4.04 petang selepas dua jam bayi perempuan pasangan lain dilahirkan di bilik bersalin yang sama.

Difahamkan, Mahani hanya dimaklumkan yang dia telah selamat melahirkan bayi perempuan secara vakum. Bagaimanapun tidak diberi peluang untuk melihat bayi mereka itu.

"Kami tidak mengesyaki apa-apa dan terus pulang ke rumah selepas isteri dan bayi dibenarkan keluar pada jam 3 peang semalam. Namun, jam 7.30 malam semalam kami dihubungi pihak hospital terbabit yang memaklumkan bayi kami tertukar dengan bayi pasangan lain.

"Isteri saya tidak henti-henti menangis mengenangkan apa yang berlaku gara-gara kecuaian kakitangan pusat perubatan itu. Malah kami juga dimaklumkan yang keputusan ujian DNA bagi menentukan siapa ibu kandung kedua-dua bayi itu akan diperoleh dalam tempoh lima hari," katanya.

"Kalau nak dikira logiknya, sepanjang satu hari masa di hospital dalam wad berkenaan, isteri saya memegang bayi berkenaan dan menyusukannya sehingga pulang ke rumah. Bagi menyusu sehingga kenyang, bayi itu sudah boleh menjadi anak susuan.

"Namun kami tidak sedar dan hospital pun tidak sedar sehinggalah pasangan itu sendiri yang memaklumkan bahawa bayi berkenaan bukan anaknya. Mereka kemudiannya ke hospital menunjukkan bukti bahawa bayi kami sudah tertukar," katanya.

Ekoran itu, Mahani terpaksa hadir ke hospital itu untuk pengambilan sampel darah untuk menjalani ujian DNA.

Mahani mengakui terasa trauma dengan perkara itu dan bimbang ia akan menimpa pasangan yang lain.

"Kesilapan seperti ini tidak boleh berlaku dalam bidang ini. Kalau ada kesilapan, bermakna awak tidak perlu duduk kerja di sini dan perlu diambil tindakan. Kalau minta maaf begitu sahaja, bagi saya semua orang boleh meminta maaf. Jadi pengajaran itu kena ada. Kalau tiada? Bayangkan kalau saya tidak perasan dan dia pun tidak perasan, apa akan terjadi?" kata Mahani.

Susulan kejadian itu, Nik Ahmad Sabri membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada jam 12:00 malam tadi. Bagaimanapun, kes dianggap selesai setelah kedua-dua pasangan itu menukar kembali bayi masing-masing. -

Related Posts :

0 Response to "'Bayiku Tertukar Dengan Bayi Orang Lain'"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect