Selepas kejayaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memenangi anugerah pendebat terbaik Asia semasa mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam Kejohanan Debat Bersatu Asia (UADC) di Bali, Mei lalu, pasukan debat Malaysia sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara dalam pertandingan debat yang berlangsung di Universiti Cambridge, United Kingdom pada 20 dan 21 November.
Pertandingan debat tahunan antara universiti Cambridge (Cambridge IV) atau Cambridge Intervarsity (Cambridge IV) yang disifatkan sebagai debat paling kompetitif di dunia menyaksikan pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjuarai keseluruhan manakala UIAM menang dalam kategori English as Second Language (ESL), lapor The Star, semalam.
Kemenangan pasukan UiTM dan UIAM dalam pertandingan debat berprestij itu nyata menarik perhatian ramai pihak yang meluahkan rasa kagum terhadap kejayaan mereka mengharumkan nama negara.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerusi laman sosial Twitter turut mengucapkan tahniah kepada pasukan UiTM dan UIAM yang muncul juara dalam pertandingan tersebut.
“Tahniah kepada UiTM dan UIAM yang menang dalam kejohanan debat antara universiti Cambridge (Cambridge IV).
“Malaysia tabik hormat kepada anda!,” tulis Khairy dalam entri tersebut.
Memetik laporan The Star lagi, kemenangan UiTM dalam kategori utama selepas menjuarai dalam liga akhir menentang pasukan dari Persatuan Sejarah Dublin, Trinity College dan dua pasukan dari univeristi Toronto, Hart House A & B menjadikan UiTM sebagai universiti Malaysia pertama dalam sejarah yang memenangi kategori tersebut.
Pertandingan tersebut disertai oleh 128 pasukan daripada pelbagai universiti termasuk Universiti Harvard, Universiti Oxford, London School of Economics, Universiti Toronto, Universiti Tel Aviv, Universiti Cornell dan Trinity College Dublin.
Dalam pertandingan tersebut, UiTM diwakili oleh Mohd Mifzal Mohd Murshid Kieron, dan Jasmine Ho, kedua-duanya berumur 22 tahun, manakala UIAM diwakili oleh Ameera Natasha Moore, 22, dan Sara Rahim, 20.
Kehebatan peserta Malaysia terbukti apabila wakil UiTM berjaya mempertahankan usul ‘Dewan ini percaya komuniti antarabangsa perlu membayar kepada negara-negara yang berdekatan dengan zon konflik untuk memproses, menyelesaikan dan menyekat pergerakan selanjutnya pelarian’ dalam kedudukan mereka sebagai kerajaan.
UIAM pula nyata berjaya menundukkan pasukan dari Israel dan Belanda apabila berjaya membahaskan usul ‘Dewan ini percaya bahawa Arab Saudi perlu menghadkan penglibatan dalam ibadah haji kepada rakyat negara-negara yang komited menentang IS’ sebagai pembangkang.
0 Response to "Malaysia Juara Debat Bahasa Inggeris Tewaskan Universiti Oxford"
Post a Comment