Warga Kuching nyala lilin, kenang jasa Tok Nan

Kira-kira 200 orang malam ini menghadiri upacara khas nyalaan lilin di perkarangan Tebingan Sungai Kuching sempena memperingati genap setahun pemergian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem. ― Foto oleh Sulok TawieKira-kira 200 orang malam ini menghadiri upacara khas nyalaan lilin di perkarangan Tebingan Sungai Kuching sempena memperingati genap setahun pemergian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem. ― Foto oleh Sulok TawieKUCHING, 11 Jan ― Cuaca dingin berselang seli dengan hujan renyai-renyai tidak dihiraukan oleh sekumpulan 200 warga Kuching untuk menghadiri upacara khas nyalaan lilin di perkarangan Tebingan Sungai Kuching di sini sempena memperingati genap setahun pemergian Ketua Menteri Sarawak keenam, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Penganjur majlis Robert Liew berkata kebanyakan yang datang adalah mereka yang benar-benar ingin menzahirkan betapa mereka amat terasa kehilangan dan amat merindukan pemimpin yang menjadi idola kebanyakan penduduk Sarawak itu. 

Beliau berkata walaupun hujan, namun ia tidak mematahkan semangat orang ramai untuk datang seawal 7 malam, berkumpul, menyalakan lilin dan menghayati rakaman ucapan Adenan atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Tok Nan’. 

“Malam ini, semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama datang bersama-sama menyalakan lilin bagi memperingatinya. 

"Upacara yang sama turut kami adakan di bandar Miri dan Johor Bahru,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Allahyarham meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak pada 11 Januari 2017 akibat komplikasi jantung dan tempatnya diambil alih Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg.

Gaya  kepimpinan Allahyarham yang bersahaja, berjaya menawan hati ramai penduduk Sarawak, dan kewibawaannya terbukti menerusi keupayaan beliau untuk mengembalikan sokongan kaum Cina berdasarkan kejayaan cemerlang kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri ke-11 (PRN11) pada 2016.

Pada PRN itu BN berjaya membolot 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

Majlis malam ini berakhir sekitar 9.15 malam dengan sekumpulan penunggang basikal beramai-ramai berkonvoi di sepanjang Tebingan Sungai Kuching itu sebelum bersurai. ― Bernama



Sumber Warga Kuching nyala lilin, kenang jasa Tok Nan

0 Response to "Warga Kuching nyala lilin, kenang jasa Tok Nan"

Post a Comment