Suami maut tercampak

MARAN: Seorang lelaki maut selepas tercampak daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dinaikinya di Kilometer 145, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Maran, kira-kira 1 tengah hari tadi.

Difahamkan, dalam kemalangan itu, mangsa yang berusia 51 tahun duduk di bahagian hadapan sebelah penumpang, tercampak beberapa meter dari lokasi kejadian selepas MPV dipandu isterinya hilang kawalan dan terbalik.

Mangsa yang dikenali sebagai Mustapa Abd Aziz, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Juria Japri, 48, cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman, berkata siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu dalam perjalanan ke Kuantan dari Kuala Lumpur sebelum MPV dinaiki mereka terbabas.

"Siasatan mendapati, kejadian berlaku di laluan berselekoh dan jalan raya basah disebabkan hujan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



Sumber Suami maut tercampak

0 Response to "Suami maut tercampak"

Post a Comment