Tujuh remaja ditahan, bantu siasatan tahfiz terbakar

Seramai 21 pelajar dan dua guru Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban dalam kebakaran 5.15 pagi 14 Sept 2017. — Foto ihsan Facebook/Kann PiranSeramai 21 pelajar dan dua guru Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban dalam kebakaran 5.15 pagi 14 Sept 2017. — Foto ihsan Facebook/Kann Piran

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Polis menahan tujuh remaja lelaki bagi membantu siasatan kes Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, di sini, yang terbakar pada Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

“Ya, saya sahkan kesemua penangkapan berkenaan,” katanya ringkas.

Amar Singh berkata maklumat lanjut mengenai penahanan itu akan dibuat pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dijadualkan pada 11 pagi esok.

Penahanan mereka, yang berumur dalam lingkungan 12 hingga 18 tahun, dipercayai untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya akan menyiasat setiap aspek termasuk unsur khianat bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Maklumat mengenai penahanan tujuh remaja lelaki itu tular di laman sosial hari ini.

Tragedi ngeri kebakaran pada 5.15 pagi Khamis lepas meragut nyawa 21 pelajar dan dua warden, yang juga guru di pusat  tahfiz  berkenaan. — Bernama



Sumber Tujuh remaja ditahan, bantu siasatan tahfiz terbakar

0 Response to "Tujuh remaja ditahan, bantu siasatan tahfiz terbakar"

Post a Comment