“Tak perlu kecam ibu bapa suspek” – Bapa mangsa korban Tahfiz terbakar

“Saya rasa tak perlu ada kecaman untuk ibu bapa sebab saya percaya tiada ibu bapa yang suruh mereka lakukan semua ini.”

Begitulah kata Norazizan Abd Razak, 46, bapa kepada Allahyarham Taufik Hidayat, 16, yang maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Mengulas mengenai penangkapan tujuh suspek yang enam daripadanya positif ganja kelmarin, Norazizan berkata, dia tidak menyalahkan ibu bapa suspek.

“Kalau benar ia berlaku ketika mereka di bawah pengaruh ganja, saya tak rasa hukuman mati boleh memperbaiki keadaan.

“Mungkin dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan keluar nanti mereka mempelajari al-Quran dan insaf. Itu bagi saya. Tidak tahu kelurga lain macam mana,” katanya.

Katanya, Muhammad Taufik pernah menyuarakan hasrat untuk berpindah ke sekolah lain hujung bulan lalu, selepas lima tahun menuntut di pusat berkenaan.

“Dia beritahu saya nak keluar dan cari tempat lain. Bukan apa, katanya ingin cari perubahan kerana dia dah agak lama di pusat ini.

“Saya tiada masalah dan beritahu dia lebih baik tunggu dan habiskan sehingga hujung tahun ini tetapi apakan daya, ajal menjemputnya terlebih dahulu,” katanya.

Norazizan ditemui ketika menziarahi pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Karak, hari ini.

Allahyarham Muhammad Taufik antara 21 pelajar dan dua warden yang terkorban dalam kejadian menyayat hati menjelang subuh, Khamis lalu.

Norazizan berkata, Allahyarham anak ketiga daripada lima adik beradik itu seorang anak yang baik dan tidak pernah menyakitkan hati ibu bapa.

“Kali terakhir saya bertemu denganya pada Selasa lalu di Taman Tasek Datuk Keramat di belakang pusat berkenaan secara kebetulan kerana kebiasaannya mereka (pelajar tahfiz) hanya dibenarkan ke sana pada setiap Rabu.

“Saya memang tinggal berdekatan jadi ternampak dia dan saya belikan air, berbual macam biasa dan tiada apa yang pelik dengan allahyarham pada waktu itu,” katanya.

Norazizan juga reda dengan kehilangan anaknya kerana baginya, setiap kejadian yang diberi Allah SWT akan ada hikmahnya walaupun terpaksa menanggung sakit dan kesedihan di dunia.

Dalam masa sama, dia menghargai titipan doa dan perhatian yang tidak putus-putus diberikan rakyat Malaysia kepada keluarga mangsa.

 

Sumber: Harian Metro

 



Sumber “Tak perlu kecam ibu bapa suspek” – Bapa mangsa korban Tahfiz terbakar

0 Response to "“Tak perlu kecam ibu bapa suspek” – Bapa mangsa korban Tahfiz terbakar"

Post a Comment