Pelajar khalwat dengan bekas cikgu di sekolahnya dihukum hafaz surah al-Kahfi

Mahkamah Rendah Syariah Klang mengarahkan mahasiswa itu menghafal ayat 1 hingga 10 surah al-Kahfi setelah mengaku bersalah berkhalwat dengan bekas gurunya. — Paparan skrin Google

Seorang mahasiswa dihukum menghafaz surah al-Kahfi selama setahun setelah mengaku bersalah berkhalwat dengan bekas guru sekolahnya.

Mahkamah Rendah Syariah di sini mengarahkan lelaki itu, 20 tahun, membawa salinan transkrip keputusan pengajian dua semesternya, lapor Kosmo!

“Setelah setahun iaitu pada 13 September 2018 nanti, kamu datang ke sini bawa salinan laporan keputusan peperiksaan untuk memastikan kamu benar-benar belajar serta membaca surah al-Kahfi di depan saya.

“Surah itu diberikan bagi menyedarkan diri kamu, selain hikmahnya bagi mengelak gangguan dajal,” kata Hakim Mohd Nurulazhar Mohd Tohar.

Akhbar itu melaporkan tertuduh diminta menghafal ayat 1 hingga 10 surah tersebut, selain diperintah berkelakuan baik.

Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh yang baru mendaftar di sebuah institusi pengajian tinggi pada 4 September lalu.

Pelajar itu didakwa berkhalwat di tempat kerja bekas gurunya di sebuah premis perniagaan di Jalan Pekan Baru di sini pada 2.27 pagi 30 April lalu.

Beliau didakwa bawah Seksyen 29 (a)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Mengaku kesal dan insaf dengan kesalahannya, mahasiswa universiti awam itu diminta membaca surah al-Fatihah, tahiyat akhir dan doa qunut oleh mahkamah.

Sewaktu kejadian, lelaki terbabit yang tidak dinamakan bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat di situ dengan gaji RM1,200 sebulan.

Akhbar itu juga melaporkan mereka menjalin cinta sejak Mei 2016 dan ditangkap tiga kali berkhalwat oleh suami bekas guru bahasa Inggeris itu.

Wanita 43 tahun itu, juga tidak dinamakan, yang pernah mengajar tertuduh di sebuah sekolah menengah pula didakwa bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen sama.

Tertuduh kedua itu yang beranak lima, diceraikan Ogos lalu, diperintah membayar jaminan RM2,000. Hukuman ditetapkan 28 September depan.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) setelah menunggu 35 minit.

Pintu utama premis pejabat tersebut dan gerijinya berkunci dengan mangga sehingga pemilik premis dipanggil untuk membukanya.

Pemeriksaan mendapati wanita itu duduk di atas kerusi roda dengan memakai baju lengan panjang hijau dan berseluar jean biru.

Manakala lelaki itu berkemeja putih berseluar panjang hitam dan keluar dari tandas premis terbabit.

Sumber: Projek MMO



Sumber Pelajar khalwat dengan bekas cikgu di sekolahnya dihukum hafaz surah al-Kahfi

0 Response to "Pelajar khalwat dengan bekas cikgu di sekolahnya dihukum hafaz surah al-Kahfi"

Post a Comment