“Mat Taib bukan spy” – Annuar Musa

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, tidak pernah dijadikan ejen perisik untuk menghendap ‘rumah’ pembangkang.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, ketika menyanggah dakwaan itu berkata, Muhammad bebas menentukan hala tuju politik sendiri, tanpa terikat kepada parti.

Baca artikel sebelum: 5 tahun yang sia-sia, Tan Sri Muhammad Muhd Taib umum kembali sertai UMNO

“Kita tidak pakai strategi ‘spy’ sehingga keluar parti, lawan parti, tidak… beliau (Muhammad) mempunyai sebab sendiri untuk sertai PAS pada 2013.

“Seperti mana kita tahu, PAS berjaya di Selangor ketika itu, begitu juga PKR, tapi biasalah apabila melihat secara dekat untuk tempoh tertentu, barangkali ada perkara difikirkan.

“Paling penting adalah soal perjuangan kerana beliau berpendapat lebih utama untuk mementingkan soal ummah dan berada dalam saf UMNO,” katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, sebentar tadi.

Nekad menyertai sayap pembangkang pada 2013, Muhammad hari ini mengambil keputusan pulang ke pangkuan UMNO selepas berpendirian perjuangan PKR adalah sia-sia.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, menerusi sidang media khas.

Mengulas lanjut, Annuar turut menyuarakan keyakinan lebih ramai bekas ahli UMNO yang akan kembali ke pangkuan parti dalam tempoh terdekat.

“Insya-Allah akan ada lagi bekas ahli UMNO yang bakal menyertai keluarga besar ini,” katanya.

 

Sumber: BH Online



Sumber “Mat Taib bukan spy” – Annuar Musa

0 Response to "“Mat Taib bukan spy” – Annuar Musa"

Post a Comment