Kewujudan beliau hampir dilupakan: Zuraida

Tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib kembali ke pangkuan Umno seperti yang diumumkan Perdana Menteri petang tadi tidak memberi kesan terhadap PKR.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, sejak bersama PKR, kewujudan pemimpin tersebut juga seakan dilupakan.

“Tidak menambah atau mengurang dan tak ada apa-apa yang beliau mainkan peranan.

”Beliau sendiri pun kita hampir lupakan dan hari ini kita dapat tahu beliau kembali kepada Umno. Jadi tidak ada sebarang kesan pun,” katanya kepada Sinar Harian.

Hari ini, Muhammad secara rasminya kembali menyertai Umno dan pengumuman itu, dibacakan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato’ Onn.

Muhammad sebelum ini meninggalkan Umno dan menyertai Pas pada 2013, sebelum menyertai PKR pada 2015.

Sementara itu, Zuraida turut menyifatkan ‘sidang media khas’ tersebut sebagai perkara yang tidak ada standard kerana pengumuman yang dibuat bukanlah sesuatu yang penting untuk negara.

“Memang lucu, saya ketawa bila dapat tahu berita ini. Bermula beliau (Najib) mengumumkan bahawa satu sidang media khas akan diadakan dan sejak itu pelbagai spekulasi timbul.

“Tapi sebaliknya beliau hanya mengumumkan mengenai kepulangan bekas ahlinya kepada Umno. Ini bukanlah perkara penting yang boleh menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.



Sumber Kewujudan beliau hampir dilupakan: Zuraida

0 Response to "Kewujudan beliau hampir dilupakan: Zuraida"

Post a Comment