Johor wajibkan daftar pusat tahfiz swasta, ketat syarat

Johor akan melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap sistem pengurusan pusat-pusat tahfiz serta madrasah pondok swasta di negeri ini bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini di masa hadapan.

Abd-Mutalip-Abd-Rahim_tahfiz_600

JOHOR BAHRU: Johor akan melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap sistem pengurusan pusat-pusat tahfiz serta madrasah pondok swasta di negeri ini bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini di masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim berkata langkah penambahbaikan ini termasuk mewajibkan pendaftaran setiap pusat tahfiz dan madrasah pondok swasta dengan pihak Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) serta mengetatkan lagi syarat operasi sedia ada.

“Bukan sekadar bangunan sahaja yang kita akan perhatikan, malah tenaga pengajar, warden asrama, sukatan pelajaran, pengajian dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada kerajaan negeri akan mewajibkan pendaftaran premis-premis itu susulan kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur kelmarin yang mengorbankan 21 pelajar dan 2 guru yang juga warden sekolah agama terbabit.

Menurut Abd Mutalip, pada ketika ini, kerajaan negeri hanya dapat menyarankan kepada pusat-pusat tersebut agar mendaftarkan premis mereka dan mengikut peraturan ditetapkan.

“Sekiranya tidak berdaftar, ia adalah di luar kawalan kami. Ada juga yang hendak daftar tetapi mereka tidak mempunyai syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti premis dibuat di lot-lot kedai atau komersil atau di bangunan rumah,” katanya.

Kata beliau, berdasarkan data terkini, terdapat sebanyak 95 madrasah tahfiz swasta berdaftar dengan kerajaan negeri, manakala 15 lagi belum berdaftar.

“Bagi madrasah pondok swasta pula, hanya 10 yang berdaftar, sekolah menengah agama swasta (7 berdaftar dan 2 masih belum); dan sekolah rendah agama swasta (28 berdaftar dan 2 masih belum mendaftar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu 1 sesi taklimat keselamatan akan dikendalikan JAINJ bersama pengetua dan semua pengusaha sekolah tahfiz swasta di seluruh negeri pada 20 September ini.

Katanya, taklimat itu yang turut melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Kesihatan negeri dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bertujuan mendedahkan langkah-langkah keselamatan untuk mencegah kebakaran.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Johor wajibkan daftar pusat tahfiz swasta, ketat syarat

0 Response to "Johor wajibkan daftar pusat tahfiz swasta, ketat syarat"

Post a Comment