Inovasi tudung bawal satin kembali diminati wanita

Setiap wanita memiliki cita rasa sendiri dalam bergaya. Begitu juga dalam pemilihan tudung ataupun selendang untuk digayakan, pastinya mereka mahukan aksesori yang dilengkapi dengan ciri selesa, corak menarik, mampu memperlihatkan bentuk wajah sempurna dan mengikut trend semasa.

Selain selendang, tudung bawal satin kini kembali menjadi pilihan ramai kerana keunikan coraknya yang pelbagai dan ia menampilkan gaya yang lebih elegan serta tersendiri, ada kalanya boleh menonjolkan penampilan mewah apabila digayakan.

Menariknya, tudung bawal yang diinovasi dengan pelbagai corak menarik itu boleh digayakan secara kasual, santai ataupun formal untuk ke mana saja. Cara pemakaiannya juga sangat mudah sama ada hanya menggunakan satu pin dan diikat bahagian hujung tudung atau dibiarkan jatuh ke bawah.

Bagi gaya yang lebih moden dan terkini, boleh juga gayakan pemakaian tudung bawal satin dengan hanya diikat di bahagian tepi bagi memberikan imej yang lebih menawan.

Justeru, tidak hairanlah jika tudung bawal satin kembali diminati kebanyakan wanita kerana cara pemakaiannya yang pelbagai, warna pilihan menarik dan corak yang lebih moden.

Bagi yang meminati tudung satin ini, pastinya sering mencari pembaharuan dalam corak yang didatangkan khas untuk bergaya menarik dan kemas setiap hari. Malah, penampilan warna yang pelbagai termasuk pastel juga sering menjadi pilihan kerana ia sesuai digayakan oleh semua rona kulit.

Tidak mahu ketinggalan dalam menampilkan koleksi terkini, Larnie Scarves yang dimiliki oleh Iesdartiah Muhd Rais kembali dengan pelbagai corak menarik untuk melengkapi gaya peminat tudung satin.

Setiap satu rekaan tudung yang menggunakan material satin royal itu didatangkan dalam tiga warna pilihan untuk memudahkan pemakai menyesuaikannya dengan pakaian yang digayakan sama ada polos ataupun bercorak.

Kelainan pada koleksi baru jenama berkenaan dapat dilihat menerusi rekaan coraknya yang berasaskan motif bandar dan alam semula jadi. Semua koleksi terkini berkenaan boleh didapati menerusi ejen jenama itu di Semenanjung Malaysia dan Brunei.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber Inovasi tudung bawal satin kembali diminati wanita

0 Response to "Inovasi tudung bawal satin kembali diminati wanita"

Post a Comment