APG - Olahraga: Enam pingat emas berjaya dituai

ACARA trek dan padang Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 terus menjadi lubuk emas buat kontinjen negara apabila skuad olahraga negara berjaya meraih enam pingat emas setakat ini.

Siti Noor Radiah Ismail menghadiahkan emas pertama buat skuad olahraga negara selepas mengungguli acara lompat jauh wanita T20, sebelum Eddy Bernard dan Muhammad Afiq Mohamad Ali Hanafiah menambah dua lagi bilangan pingat emas menerusi acara pecut T36 dan T12.

Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin turut berjaya mengutip emas untuk negara dalam acara 800m kategori T20 dengan melakukan catatan masa 2:34.12 saat untuk meninggalkan dua pencabar dari Thailand, Maswinah Suanang (02:41.24s) dan Phoophaploy Wipha (03:01.80s).

"Insya-Allah selepas ini saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam acara 400m dan akan cuba yang terbaik dalam Sukan Para Asia nanti," kata Iasah.

Dalam acara padang pula, Faridul Masri muncul pemenang pingat emas acara rejam lembing kategori F36 dengan catatan 28.86 meter bagi mengetepikan cabaran wakil Vietnam, Trinh Cong Luan (24.20m) yang meraih perak manakala Hirdan Abdul Kadir dari Brunei meraih gangsa (22.17m).

Hemala Devi Kutty menyumbang emas keenam buat negara menerusi acara melempar cakera kategori F12. Lemparannya sejauh 32.46 meter itu mengetepikan pesaing dari Brunei, Nor Hensan Mataha (24.00m) manakala seorang lagi wakil negara, Noor Kalsum Fadil, meraih gangsa (18.46m).



Sumber APG - Olahraga: Enam pingat emas berjaya dituai

0 Response to "APG - Olahraga: Enam pingat emas berjaya dituai"

Post a Comment