“UMNO kata tak nak bawa RUU 355 sebagai urusan kerajaan, anehnya PAS tak salahkan UMNO” – Anwar

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim musykil terhadap alasan di sebalik tindakan PAS memutuskan hubungan politik dengan partinya.

Anwar berkata alasan yang diberikan, terutama dalam kaitan dengan RUU355, adalah tidak tepat.

“Ternyata pimpinan PAS tidak meneliti kenyataan saya dan presiden PKR (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) yang menghormati hak Datuk Seri Hadi Awang (untuk mengusul pindaan tersebut) dan mengusulkan supaya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan,” kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Dakwaan tidak penyokong usul pindaan Hadi adalah salah satu daripada sebab yang dinyatakan oleh majlis syura PAS apabila ia secara rasmi memutuskan hubungan politik dengan PKR pada hari Khamis.

Usul Hadi bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan syariah sehingga penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Malah, kata Anwar, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menegaskan bahawa kerajaan Umno-BN tidak akan membawa RUU355 sebagai urusan kerajaan.

“Anehnya Umno tidak dipersalahkan kali ini,” katanya.

Anwar merujuk kepada pengumuman Najib pada April bahawa Putrajaya tidak akan membawa usul RUU355, ekoran bantahan parti-parti komponen BN.

Walaupun beberapa pemimpin PAS seperti Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bahawa ia bukti Umno tidak boleh dipercayai untuk menegakkan Islam, Hadi telah berkata bahawa PAS berterima kasih kepada kerajaan.

Ini kerana kerajaan memberi laluan pada hari terakhir sidang Parliman pada bulan April, untuk membolehkan Hadi  membacakan usulnya bagi membentangkan rang undang-undang tersebut.

Anwar berkata PKR tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi dan bahawa matlamatnya adalah jelas iaitu untuk menewaskan kerajaan Umno-BN.

Mengenai Selangor, bekas ketua pembangkang itu melahirkan keyakinan bahawa Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali terus menerajui kerajaan negeri berdasarkan mandat penuh rakyat dan khidmat rakyat yang dicurahkan selama ini.

 

Sumber: Malaysiakini



Sumber “UMNO kata tak nak bawa RUU 355 sebagai urusan kerajaan, anehnya PAS tak salahkan UMNO” – Anwar

0 Response to "“UMNO kata tak nak bawa RUU 355 sebagai urusan kerajaan, anehnya PAS tak salahkan UMNO” – Anwar"

Post a Comment