Ada bercinta macam orang muda, bergayut di telefon siang malam, tak jumpa sehari terasa rindu dan apabila berjumpa tidak mahu berpisah pula. Bila sudah berkahwin lebihkan isteri baharu dan keluarganya.

Inilah kisah yang saya akan kongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah kiriman Anne (bukan nama sebenar) mengenai ayah­nya yang baru berkahwin lain setelah kematian ibu mereka dua tahun lalu.

Begini ceritanya.

“Saya anak sulung daripada tiga beradik dan mempunyai seorang adik lelaki dan adik perem­puan yang masih menuntut di universiti. Ibu kami meninggal dunia dua tahun lalu kerana serangan jantung.

“Ayah seorang pesara kerajaan, usianya 65 tahun tetapi seorang yang sangat menjaga penampilannya terutama di khalayak. Pakaian memang sangat style mengalahkan orang muda.

“Tidak hairanlah ayah dikejar ramai wanita. Setelah dua tahun menduda, ayah akhirnya bertemu jodoh dengan seorang kenalan lamanya, janda beranak tiga juga tetapi kematian suami. Orang­nya cantik, bergaya dan memang sesuai dengan ayah.

“Saya dan adik-adik tidak membantah apabila ayah memberitahu dia mahu bernikah lagi. Saya gembira kerana sekurang-kurangnya ayah ada orang jaga sakit demamnya, makan mi­numnya.

“Adik-adik mengikut saya. Baik saya baiklah mereka, lagipun kami bukan anak yang didik dengan adab sopan menghormati ayah dan orang tua. Saya tidak nampak keburukan bakal ibu tiri kerana dia sangat mesra setelah ayah perkenalkan kepada kami beberapa bulan sebelum mereka bernikah.

“Seperti yang saya boleh agak, selepas berkahwin ayah ba­nyak menghabiskan masa dengan makcik dan keluarganya. Saya dan adik-adik selalu tinggal bersendirian sebab ayah lebih kerap tinggal di rumah makcik dari rumah kami.

“Alasan ayah, saya sudah dewasa untuk menjaga adik-adik semasa ketiadaan ayah. Sedangkan ayah tahu, kami perlukan dia. Ini tidak, dalam sebulan seminggu pun ayah jarang dapat bersama kami.

Sehinggakan ada kalanya saya terpaksa menelefon dan mesej untuk beritahu ayah sesuatu yang mustahak. Nasiblah kalau ayah baca, jika tidak, tunggulah.

“Saya sangat sedih dengan perangai ayah. Tidak sangka ayah akan mengetepikan anak-anak kerana dapat isteri baharu. Sedangkan masa belum kahwin ayah berjanji akan tinggal bersama kami. Makcik pun setuju de­ngan syarat kami.

“Tapi bila sudah berkahwin lain pula jadinya. Ayah ikut cakap isteri baharu, lupa janjinya de­ngan kami. Dia seronok dengan isteri baharunya, kami dibiar menangis kerana sedih dengan sikap ayah.

“Saya banyak kali menegur ayah tetapi saya pula kena marah sebab ayah kata saya cemburu dengan anak-anak tiri ayah. Siapa saya hendak cemburukan mereka? Itu hak ayah. Saya tidak kisah.

“Yang saya kisah tanggungjawab ayah kepada kami tiga beradik. Itu yang ayah perlu fikirkan, bukan enjoy dengan makcik ke sana sini. Saya tidak marah ayah layan makcik dan anak-anaknya tetapi pada masa sama perlu ingatkan kami juga.

“Adik-adik masih perlukan ayah. Mereka masih belajar. Saya sudah boleh berdikari sebab saya sudah berkerja dan ada pendapatan sendiri. Saya tidak akan susahkan ayah tetapi adik-adik perlukan wang untuk belajar dan sara hidup mereka.

“Saya pernah bincang hal ini dengan opah sebelah ayah, sa­yangnya mereka tidak memihak kepada saya sebab kata mereka ayah ada keluarga baharu, dia perlu lebih bertanggungjawab terhadap mereka. Habis saya dan adik-adik ini tanggungjawab siapa?

“Enam bulan selepas itu saya ambil keputusan bertukar kerja di utara, kerana mahu dekat dengan nenek sebelah mak yang sangat mengambil berat hal kami tiga beradik. Saya nekad buat keputusan kerana adik-adik juga belajar di utara.

“Saya tidak minta pendapat ayah sebab saya sudah tahu akan jawapannya. Saya benar-benar kecewa dengan sikap ayah dan sedih. Saya mahu berdikari dan hendak jaga adk-adik jauh dari ayah. Cara itu saya rasa lebih selamat.

“Adik-adik juga setuju. Kalau ayah sayang kami, dia akan da­tang menjenguk kami di kampung. Jika tidak, saya dan adik-adik hanya berserah kepada Yang Esa.

“Sekarang saya rasa tenang. Tidak fikir lagi akan hal ayah walaupun kadang kala saya sangat sedih. Kalau mak ada, mesti mak sedih dengan perbuatan ayah. Saya hanya mampu berdoa dan minta Allah bagi kami kekuatan untuk terus hidup.

“Ayah masih macam dahulu, kejap timbul, kejap hilang, tapi banyak hilang dari ada. Tapi, kami tidak kisah sebab nenek sentiasa ada. Nenek pengganti mak, ibu saudara dan keluarga sebelah mak sentiasa menyokong kami, memberi layanan dan kasih sayang tidak berbelah bahagi.

“Syukur kepada Allah. Itu tidak bermakna saya dan adik-adik tidak ingat kepada opah se­belah ayah, tetapi kami agak renggang sebab ayah yang menjadi puncanya.

“Saya berharap kepada anak-anak yang ayah mereka kahwin lain setelah kematian ibu atau sebaliknya, kuatkan semangat dan reda dengan apa yang akan dihadapi. Kita tidak boleh halang ayah atau ibu kahwin lain sebab itu hak mereka. Kena banyak sabar dan berdoa agar semuanya akan baik-baik belaka.

“Saya juga berharap ayah akan sedar kesilapannya dan kembali kepada kenyataan dia masih ada anak yang perlukan perhatian. Semoga Allah dengar doa kami. Aamiin..” demikian Anne menamatkan ceritanya.

Saya hanya mampu meminta Anne bersabar dan berdoa ja­ngan putus. Saya percaya satu hari nanti ayahnya akan sedar dan kembali memikul tanggungjawbnya semula.

Syabas kepada Anne kerana menjadi anak yang baik dan bertanggungjawab. Mudah-mu­dahan Anne dan adik-adiknya mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.

Mengundur diri, pesanan ikhlas saya, Allah selalu memberikan kelebihan di sebalik kekurangan dan Allah juga selalu memberikan kekuatan di sebalik kelemahan. Ketika perjalanan hidup terasa membosankan, Allah menyuruh kita untuk banyak bersyukur.

Salam