Dengan sekali lafaz, Dazrin, 29, sah bergelar suami kepada pasangannya yang lebih mesra dengan nama Zulin, 33, dengan mas kahwin sebanyak RM500 tunai dan dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Razali Din.

Pasangan pengantin yang ditemui selepas majlis melahirkan rasa syukur kerana majlis akad nikah itu berjalan lancar dan mengharapkan agar rumah tangga yang dibina kekal sehingga akhir hayat.

Dazrin yang pernah membintangi drama Adam dan Hawa berkata, walaupun tempoh yang singkat membuat persiapan ekoran kekangan masa mengumpulkan ahli keluarganya yang kebanyakan berada luar Melaka, selain terdapat di luar negara, namun gembira majlis itu berlangsung dengan jayanya.