Namun itu tidak bermakna, hati wanitanya itu sudah pun membeku sekeras kayu dan menolak sekeras-kerasnya soal cinta. Percayalah pada waktu ini terlalu banyak faktor yang menyebabkan dia kurang selesa untuk bercinta.

Bukan kerana Zara fobia dengan sebuah komitmen cinta dek kegagalan cinta dahulu, ataupun fobia mendengar cerita perkahwinan yang tidak menjadi berlegar hingga menjadi takut untuk bercinta.

“Saya masih ada lagi punya keinginan lagi untuk berkahwin, ada keluarga dan mempunyai anak. Apatah lagi pada usia sebegini, ramai kawan-kawan sebaya sudah ada kehidupan sendiri.

“Tapi nak buat macam mana, saya masih belum lagi bertemu dengan lelaki yang benar-benar meyakinkan. Nak hidup sama-sama susah senang dengan seseorang ini ingat senang ke?

“Nanti salah langkah, saya juga yang akan menanggung penyesalan kemudian hari. Jadi tidak salah kalau saya cerewet memilih calon suami demi kebaikan diri sendiri.

“Sebab itu saya tidak kisah kalau orang luar nak cakap apa pun. Langsung tidak memberi apa-apa impak buat diri saya,” kata Zara mempertahankan prinsip diri.

Kali terakhir bercinta ketika menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) beberapa tahun lalu, Zara menafikan sekeras-kerasnya kegagalan dalam percintaan itu yang menyebabkan dia enggan bercinta lagi.

Bahkan Zara sentiasa terbuka menyambut salam perkenalan dengan kaum Adam. Bagaimanapun proses untuk berkenalan secara rapat itu tidak semudah yang disangka. Banyak yang perlu dipertimbangkan.

Dek terlalu selesa dengan zon selamat pada usia 32 tahun itu, Zara kemudiannya diterpa spekulasi yang mendakwa konon-kononnya Zara sudah pun menutup pintu hati untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya.

“Kalau orang nak label saya yang bukan-bukan pun saya terima. Suka hati mereka nak cakap apa. Saya tak boleh nak buat apa-apa,” ringkas kata Zara menepis tanggapan liar itu.

Enggan membuang masa, Zara mengambil keputusan untuk tidak menyasarkan lagi isu perkahwinan sebaliknya percaya kepada ketentuan jodoh yang ditetapkan oleh-Nya.

Lantas pemikiran Zara tertumpu kepada perjalanan kerjaya dan bekerja dengan lebih kuat demi mencari rezeki lebih untuk kebaikan dirinya pada masa akan datang.

“Desakan untuk segera berkahwin itu datangnya daripada peminat. Apabila saya memuat naik gambar bersama kanak-kanak dan berkongsi menu masakan di laman sosial, mereka kata saya ada ciri-ciri seorang isteri dan ibu.

“Sedangkan bagi pihak keluarga saya sendiri langsung tidak memberi tekanan. Tak tanya apa-apapun. Mereka tahu yang saya ini jenis fokus satu persatu. Sekarang ini, adalah masa bekerja.

“Saya kini sedang mengusahakan perniagaan sendiri. Ada banyak produk yang perlu dijaga di bawah rangkaian Zara Zya by Zara Zya yang saya usahakan sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Jadi tidak mengapa kalau saya berkorban masa untuk tidak lagi bercinta buat sementara waktu. Lainlah kalau dah ada seseorang nanti,” katanya lagi.

Satu lagi faktor penting yang membuatkan Zara tidak mudah menyerahkan cinta dengan lelaki apabila wanita kelahiran Lenggong, Perak ini mengakui sangat menghormati istilah bercinta itu sendiri.

Oleh itu, Zara tidak akan sewenang-wenangnya memungkiri ketulusan cinta sebaik saja menyerahkan seluruh jiwa raga kepada lelaki pilihannya itu nanti.

“Cinta saya ini sangat mahal. Saya tidak mudah mengungkapkan rasa cinta itu secara suka-suka kalau langsung tidak menikmatinya.

“Ini adalah cara saya menghargai cinta. Tak salah kalau saya mahu yang terbaik dalam hal ini,” katanya yang tidak pernah menjadikan usia sebagai desakan untuk segera mengakhiri zaman bujang.

Penampilan semakin elok

JIKA diikutkan, sudah banyak perubahan dalam soal penampilan diri telah dilakukan Zara apabila dilihat semakin meyakinkan berbanding saat awal melangkah dalam industri sebelum ini.

Mudah kata, Zara semakin cantik dan perubahan itu juga mencetuskan tanda tanya adakah itu petanda dia bakal menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat.

Pun begitu, Zara menegaskan yang perubahan dilakukan itu dibuat atas dasar kepuasan diri sementelah dunia pekerjaannya memerlukan dia sentiasa dalam keadaan menawan.

“Cantik itu adalah bonus buat diri saya. Apabila kita cantik, peminat akan memberi perhatian lebih. Saya lebih percaya kepada rawatan kecantikan secara semula jadi.

“Saya tidak melakukan rawatan tertentu untuk merubah wajah. Nak ubah hidung atau bibir itu, semua itu mengarutlah. Tak boleh ‘pakai’.

“Cukuplah dengan suntikan vitamin C untuk mencantikkan kulit dan rawatan mencantikkan gigi. Itu sudah memadai,” ujar Zara yang baru selesai penggambaran drama berjudul Hola Hermosa (Hai Perempuan Cantik) di Mexico.

Terkini, pelakon ini sedang menjalani penggambaran drama bersiri My Sweet Lavender bersama-sama Aeril Zafrel untuk TV3.

Ciri-ciri calon suami

SEBAGAI wanita, Zara juga tidak terkecuali mempunyai ‘selera’ dalam soal pemilihan lelaki yang layak dijadikan sebagai calon suami.

Teringin untuk menikmati keindahan momen di awal percintaan, Zara juga teruja untuk melalui proses berkenalan sebagai laluan utama sebelum mengenali lebih lanjut hati budi seseorang.

Jika ada keserasian barulah Zara yakin untuk melangkah ke satu lagi peringkat lebih serius dalam tempoh tertentu sebelum memberi kata putus untuk menyerahkan 100 peratus cintanya.

“Saya bukannya wanita materialistik dan memandang harta benda sebagai jaminan kukuh. Pun begitu saya tidak dinafikan perlu ada wang untuk kehidupan tapi itu bukan keutamaannya.

“Kalau nak tahu, saya boleh bertukar sikap menjadi seorang yang manja jika dilamun cinta. Tapi tidaklah terlalu manja hingga terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kekasih.

“Dia juga perlu ada kerjaya sendiri. Mana boleh bergantung sepenuhnya kepada pendapatan pasangannya bukan. Macam mana nak jadi ketua keluarga bukan.

“Satu lagi, calon suami saya juga perlu bijak mengambil hati keluarga dan rakan-rakan terdekat saya. Kenalah pandai bergaul, kalau tidak jadi kera sumbang,” katanya lagi.