“Bomoh kata kudis anak baik, tapi…” – Ibu bayi yang menghidap penyakit misteri ini buntu perubatan moden pun tak berjaya pulihkan anaknya

Kudis anak baik. Itulah yang dimaklumkan seorang pengamal perubatan tradisional terhadap penyakit misteri yang dihidapi seorang bayi berusia setahun tiga bulan di Felda Padang Piol, di sini. 

"Bomoh kata kudis anak baik, tapi..." - Ibu bayi yang menghidap penyakit misteri ini buntu perubatan moden pun tak berjaya pulihkan anaknya

“Bomoh kata kudis anak baik, tapi…” – Ibu bayi yang menghidap penyakit misteri ini buntu perubatan moden pun tak berjaya pulihkan anaknya

Bayi berkenaan, Muhammad Alif Iman Azrul Hisham mula menghidap penyakit itu ketika menginjak usia setahun. 

Ibunya, Zaliza Murni Hasan Sabury, 32, terpaksa mengambil langkah membawa anaknya berubat secara tradisional setelah perubatan moden dikatakan tidak mampu mengesan penyakit yang dihidapi Alif. 

Bercerita lanjut tentang anaknya itu, Zaliza berkata, pada asalnya terdapat sebiji ketumbuhan sebesar duit syiling 5 sen dibawah ketiak Alif yang dikesan ketika berusia setahun. 

Ketulan itu memberikan rasa tidak senang Zaliza memandangkan salah seorang anak perempuannya, Nur Hidayah Azrul Hisham, meninggal dunia kerana ketulan yang sama. 

“Anak kedua saya memiliki ketulan yang sama seperti anak saya yang ini. Pada awalnya doktor kata ia adalah sejenis kanser, namun kemudian mereka pun kurang pasti dengan penyakit anak saya. 

“Ketika anak kedua saya, ketulan itu tumbuh di bahagian bahu kanannya. Pelbagai ikhtiar perubatan moden seperti kimoterapi dan pembedahan dijalankan namun ketika berusia setahun dua bulan, anak saya itu tidak dapat diselamatkan,” katanya. 

Tidak mahu perkara yang sama berulang terhadap anaknya yang ketiga itu, Zaliza tidak membenarkan pihak hospital mengambil tisu tulang belakang Alif bagi mengesan penyakit yang dihidapinya. 

“Arwah anak kedua saya juga diambil sampel tisu tulang belakang, tapi masih tak dapat kesan penyakitnya. 

“Seperti arwah, Alif juga dicadangkan untuk menjalani pembedahan dan kimoterapi. Tapi saya tolak kerana diberitahu akan memotong tangan kanan Alif kerana dikatakan tangan kanannya sudah rosak,” katanya. 

Walaupun terpaksa menghabiskan ratusan ringgit dengan bergantung pendapatan suaminya, Azrul Hisham Zakri, 42, yang bekerja di kilang sawit dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan tidak mematahkan semangat Zaliza untuk melihat anaknya itu kembali normal seperti sebelumnya. 

Katanya, dia sebelum ini menetap di Perak kerana suaminya yang bekerja di sana dan mendapatkan rawatan moden buat Alif di sana mengambil keputusan membawa anaknya pulang ke kampungnya di Felda Padang Piol untuk mendapatkan rawatan secara tradisional.

Dengan bantuan neneknya, Habsah Malik, 59, dan datuknya, Hassan Sabury Yusoff, 65, Alif dibawa berjumpa dengan seorang pengamal perubatan tradisional Islam di Kampung Kuala Mai, di sini, sejak Selasa minggu lalu. 

Habsah berkata, Alif telah dua kali di bawa berjumpa dengan pengamal perubatan tradisional itu yang mendakwa Alif menghidap penyakit Kudis Orang Baik. 

“Orang itu (pengamal perubatan tradisional) beritahu Alif menghidap penyakit Kudis Orang Baik. Penyakit ini katanya amat jarang berlaku dan hanya terjadi ke atas orang tertentu sahaja. 

“Alhamdulillah, sejak berubat secara tradisional ini, Alif menunjukkan sedikit perubahan di mana sebelum ini dia hanya boleh meniarap, kini sudah boleh baring secara terlentang,” katanya. 

Menurut Habsah, dia yakin dengan perubatan tradisional itu memandangkan sebelum ini dia pernah mengubati Zaliza yang menghadapi masalah kesihatan selepas habis berpantangkan anak sulung. 

“Selepas melihat Zaliza pulih sepenuhnya, saya yakin perubatan tradisional yang saya pilih ini boleh merawat Alif memandangkan ia menggunakan herba tradisional dan ayat suci Al-Quran,” katanya.  

Habsah berkata, dia sanggup menghabiskan wang buat cucunya itu agar kembali sembuh selain berharap agar dia tidak kehilangan cucunya itu buat kali ketiga. 

Menyentuh tentang dua lagi anak Zaliza, selain anak keduanya yang meninggal akibat ketulan dibahunya, Zaliza berkata, anak sulungnya, Nur Afina Najwa Azrul Hisham juga telah meninggal dunia namun bukan disebabkan penyakit yang sama. 

Katanya, ketika anak sulungnya berusia tiga tahun enam bulan, secara tiba-tiba arwah mengalami masalah muntah yang teruk sehingga akhirnya dia meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital. 

Zaliza berharap orang ramai yang mengetahui cara untuk mengubati penyakit Alif boleh menghubunginya di talian 011-39596782 dan bagi mereka yang mahu menghulurkan sumbangan meringankan beban ditanggung Zaliza sekeluarga boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional di atas nama Zaliza Murni Binti Hasan Sabury yang bernombor 08230-41-00003986-2. 

Sumber: Sinar



Sumber “Bomoh kata kudis anak baik, tapi…” – Ibu bayi yang menghidap penyakit misteri ini buntu perubatan moden pun tak berjaya pulihkan anaknya

0 Response to "“Bomoh kata kudis anak baik, tapi…” – Ibu bayi yang menghidap penyakit misteri ini buntu perubatan moden pun tak berjaya pulihkan anaknya"

Post a Comment