INIKAH PETANDA BARAH PAYUDARA? WANITA BERANI KONGSI TANDA-TANDA DI FACEBOOK


MELBOURNE, 7 Mac — Seorang wanita yang menghidap barah payudara bertindak berani apabila berkongsi gambar buah dadanya yang didapati terdapat lekuk dibahagian bawah.
Kylie Armstrong yang menetap di Melbourne, Australia dalam akaun sosial Facebook miliknya memberi amaran kepada wanita lain bahawa tanda-tanda penyakit barah tidak selalunya dapat dikesan dengan mudah, lapor portal news.com.au.
"Inilah rupa barah payudara saya. Saya tak rasa apa-apa benjolan. Malah doktor juga tidak kesan apa-apa petanda.
"Namun doktor mendengar cakap saya apabila saya katakan payudara saya kelihatan berbeza ketika saya mengangkat tangan, dan jelas kelihatan lekuk pudar dibahagian bawah.
"Doktor merujuk saya untuk ujian mammogram untuk kepastian, tetapi masih tidak jelas kelihatan, kemudian saya dihantar buat ujian ultrasound pula.
"Ujian ultrasound mendapati ada barah dalam payudara, dekat dengan otot. Tiga lekuk itu menyebabkan hidup saya dan keluarga tidak tentu arah," kata Armstrong di laman beliau.
Terkejut dengan keputusan ujian itu, Armstrong berkata beliau bergelut dengan emosi dan cuba hidup seperti biasa, dengan sokongan suami dan anak-anak.
 
Katanya, tujuannya memuat naik gambar itu kerana mahu berkongsi dengan orang ramai tentang kesedaran awal perubahan tanda-tanda seseorang menghidap penyakit itu.
"Saya berkongsi pengalaman ini dengan harapan orang ramai akan sedar barah payudara tidak selalunya dapat dikesan dengan mudah.
"Sila rujuk kepada doktor dengan segera jika terdapat sebarang perubahan di bahagian payudara. Ia mampu menyelamatkan nyawa anda," katanya.
Status Armstrong sejak 29 Februari itu mendapat perhatian ramai pengguna Facebook, sehingga kini mendapat 117,855 perkongsian, 25,000 "like" dan hampir 9,000 komen, kebanyakannya berterima kasih kerana berani berkongsi pengalaman dan mendoakan kesejahteraannya.
Di Malaysia, barah payudara merupakan kes barah paling kerap dihadapi rakyat, terutamanya para wanita. sebanyak 16.5 peratus daripada kes barah merupakan barah payudara, mengikut statistik terbaru Kementerian Kesihatan pada 2006.

0 Response to "INIKAH PETANDA BARAH PAYUDARA? WANITA BERANI KONGSI TANDA-TANDA DI FACEBOOK"

Post a Comment