Kerajaan telah membuat keputusan untuk menggantung pengambilan semua pekerja asing ke Malaysia, termasuk dari Bangladesh.
Memetik laporan portal berita The Star, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, majikan kini digalakkan lebih mengutamakan pengambilan pekerja tempatan berbanding pekerja asing.
“Kami menggesa semua majikan untuk mengambil pekerja tempatan,” katanya, selepas majlis mesra ramah bersama anggota tentera di Kem Muara Tuang di sini, hari ini.
Beliau berkata, penggantungan itu akan berkuatkuasa sementara kerajaan mengkaji semula program levi dua peringkat untuk pekerja asing.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pekerja asing tanpa izin yang sedia ada di negara ini akan ditahan dan dihantar pulang.
Semalam, Bangladesh dan Malaysia memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun.
Menurut laporan berita The Daily Star, perjanjian itu ditandatangani di Bangladesh antara Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dan Menteri Pekerjaan Luar Negara dan Kebajikan Ekspatriat Bangladesh, Nurul Islam pukul 10 pagi tadi (pukul 12 tengah hari waktu Malaysia).
Sumber: Sinar Harian
0 Response to "Zahid Hamidi umum pengambilan pekerja asing termasuk Bangladesh dibekukan serta merta"
Post a Comment