Wanita Lari Tinggalkan Anak Ketika Rumah Sedang Terbakar


MIAMI – Seorang wanita telah didakwa di mahkamah Florida, Amerika Syarikat kerana meninggalkan anaknya begitu sahaja ketika rumah mereka sedang terbakar walaupun budak itu menjerit meminta tolong.

Erica Rosello, 32, berlari keluar ketika rumahnya di Miami terbakar tanpa mempedulikan nasib anaknya yang baharu berusia enam tahun itu.

Lebih mengejutkan sebaik keluar dari rumah, dia menumpang sebuah kenderaan untuk ke rumah kawannya.

Nasib baik anaknya berjaya diselamatkan apabila bomba memecah masuk ke dalam rumah menerusi tingkap. Ketika itu kanak-kanak berkenaan tidak sedarkan diri kerana lemas terhidu asap.

Pada masa sama, Erica yang ketika itu berada di rumah kawannya, telah menghubungi ibunya Angelica Tabio dan memberitahu bahawa anaknya sudah meninggal dunia.

Angelica bagaimanapun memberitahu bahawa cucunya itu berada di hospital dan sebaik Erica tiba, dia telah ditangkap dan didakwa kerana mengabaikan anaknya.

Dia juga tidak dibenarkan berhubung dengan anaknya yang kini diletakkan di bawah jagaan Angelica. Identiti bapa kanak-kanak terbabit tidak dapat dikenalpasti.

Dalam pada itu Angelica memberitahu media bahawa Erica menyayangi anaknya itu namun dia mengalami kemurungan selepas melahirkan anak.

0 Response to "Wanita Lari Tinggalkan Anak Ketika Rumah Sedang Terbakar"

Post a Comment