Tidak Guna Menyorok Bawah Meja Ketika Gempa Bumi

Gempa bumi bermagnitud 2.7 pada skala Richter di Tasik Kenyir dengan gegaran yang dirasai sehingga ke Kuala Berang berlaku pada 9.25 malam Selasa.
 
Namun, tiada ancaman tsunami yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai kejadian yang berlaku. Siri gempa bumi lain turut direkodkan adalah di Halmahera, 35 kilometer ke arah timur laut Ternate, Indonesia yang mencecah 5.1 pada skala Richter pada awal pagi hari ini.
 
Memandangkan gempa bumi merupakan perkara yang tidak dapat dipandang remeh sejak insiden-insiden yang berlaku sebelum ini, apakah langkah berjaga-jaga yang dapat diambil oleh rakyat Malaysia sekiranya berhadapan dengan situasi yang sama?
 
Bagi mereka yang bekerja di persekitaran semulajadi seperti tasik, persisiran pantai mahupun hidupan liar,  ia mungkin menjadi kebiasaan untuk mereka mengenal pasti perubahan atau petanda dari alam sekitar mengenai gempa bumi yang mungkin berlaku dari perkara pelik yang direkodkan.
 
Antaranya, pengalaman yang dikongsi oleh pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir kepada Malaysian Digest hari ini susulan kejadian gempa bumi di kawasan terbabit.
 
Bagaimanapun, para penghuni bandar hanya berpeluang untuk mendapatkan maklumat dan langkah-langkah berjaga dari pihak berkuasa sekiranya berlaku insiden gempa bumi.
 
Dalam satu temu bual susulan gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu pada Jun 2015, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohd Tajuddin Abdul Wahab berpendapat bahawa peluang Malaysia untuk mendapat gempa bumi yang kritikal agak tipis.
 
Bagaimanapun, katanya rakyat Malaysia perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan berlaku gempa bumi.
 
"Kami telah merangka sistem langkah berjaga-jaga dan menyenaraikan tempat-tempat yang perlu dielakkan serta memberikan taklimat kepada semua anggota penyelamat mengenai apa yang perlu dilakukan. Malah, kami juga mempunyai program latihan untuk mengajar mereka apa langkah yang perlu diambil jika berlaku sebarang kecemasan," jelas Tajuddin.
 
"Kami pernah merekodkan gegaran kecil yang berlaku di sekeliling Malaysia seperti di Bentong dan Genting Highlands, di mana baru-baru ini kami telah menjalankan sebuah program pendidikan persiapan menghadapi gempa bumi bagi penduduk setempat."
 
"Tapi pada waktu sekarang, Malaysia tidak berada dalam zon kritikal gempa bumi namun persiapan menghadapinya tidak boleh diambil ringan kerana insiden ini boleh berlaku dimana-mana dan kita harus sentiasa bersedia," tambah Tajuddin lagi.
 
Panduan Anggota Bomba Dan Pakar Survival Dalam Menghadapi Gempa Bumi
Malaysian Digest turut menemuramah beberapa anggota bomba dan tips utama yang dikongsikan oleh mereka adalah untuk mencari kawasan lapang yang selamat sekiranya berlakunya gempa bumi. 
 
"Cari kasawan padang, atau tempat letak kereta yang jauh dari bangunan yang mungkin akan roboh.
 
"Jangan duduk di dalam rumah ketika gempa bumi kerana struktur rumah-rumah di Malaysia tidak dibina untuk bertahan ketika gempa bumi.
 
"Ikut semua langkah yang ditetapkan oleh pihak pengurusan bangunan anda, gunakan tangga dan kosongkan bangunan secepat mungkin untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat," jelas pegawai tersebut.
 
Azam Bear, pengasas Outdoor Gear Malaysia berpendapat rakyat Malaysia harus mempunyai beg 'bug-out'. 
 
Beg 'Bug-out' merupakan beg kelengkapan yang mempunyai alatan kecemasan tidak mengira bencana alam seperti pisau, kompas, lampu kecemasan dan penapis air mini.
 
"Anda perlu lampu kecemasan anda, alat asas dan pisau, kompas dan sistem penapisan air. Alatan-alatan ini yang melengkapkan BOB anda.
 
"Anda boleh terus hidup dengan memancing, memasang perangkap dan menggunakan kelengkapan-kelengkapan dalam BOB anda. Inilah situasi di mana anda berada selepas bencana alam dan anda memerlukan BOB untuk terus hidup."
 
Bagi Veeraksana, seorang jurulatih di Jungle Training Schools, masa kritikal untuk menyelamatkan diri anda adalah 30 saat pertama ketika gempa bumi dan anda hanya ada masa untuk mengambil BOB anda dan ahli keluarga anda.
 
"Tak ada guna untuk menyorok di bawah meja kerana bangunan-bangunan di Malaysia tidak dapat bertahan apabila dilanda gempa bumi," tambah Veeraksana lagi kepada Malaysian Digest.  
 
Berikut adalah garis panduan yang telah disediakan oleh Jabatan Meteorologikal Malaysia sebelum ini.
 
Ketika berlakunya gempa bumi;
 
JIKA ANDA BERADA DI DALAM RUMAH:
  1. Kekal berada di dalam. Ambil perlindungan di bawah meja, bangku atau cari posisi selamat di sudut dalam rumah anda.
  2. Jauhkan diri anda dari perabot yang boleh terbalik kerana gegaran.
  3. Lindungi kepala anda dengan buku, selimut atau apa-apa yang dapat dicapai dari terkena serpihan gelas.
  4. Elakkan dari menghidupkan sebarang api kerana mungkin terdapat saluran gas yang bocor dan berisiko untuk meletup. Padamkan semua api.
JIKA ANDA BERADA DALAM BANGUNAN TINGGI:
  1. Ambil perlindungan dibawah meja atau perabot yang kukuh.
  2. Elakkan berdekatan dengan tingkap.
  3. Jangan merusuh ke pintu keluar.
  4. Elak penggunaan lif khuatir kegagalan bekalan kuasa elektrik.
  5. Kekal berada di tingkat yang sama jika berlaku apa-apa kecemasan.
 
JIKA ANDA BERADA DI LUAR:
  1. Pergi ke kawasan lapang jauh dari tiang elektrik, pokok, bangunan tinggi dan tiang lampu.
  2. Elakkan dari serpihan bangunan yang jatuh dengan berada jauh daripada bangunan yang berisiko tinggi.
  3. Jauhkan diri anda dari tiang elektrik yang telah jatuh.
  4. Kekal berada di kawasan lapang sehingga gegaran gempa bumi berhenti.
 
JIKA ANDA BERADA DI LALUAN PEJALAN KAKI SISI BANGUNAN:
  1. Awasi diri anda dari sebarang serpihan yang jatuh dari bangunan.
 
JIKA ANDA BERADA DI DALAM PASARAYA:
  1. Elakkan dari merusuh beramai-ramai ke pintu keluar.
  2. Jauhkan diri anda dari rak-rak barangan yang mungkin terbalik akibat gegaran.
 
JIKA ANDA BERADA DALAM KERETA YANG BERGERAK:
  1. Elakkan memberhentikan kereta anda di atas jambatan dan di bawah tiang elektrik.
  2. Kekal berada di dalam kereta sehingga gegaran berhenti
  3. Pastikan anda memandu di jalan yang tidak merbahaya setelah gegaran gempa bumi (jalan rosak,tiang elektrik, pokok, jalan tidak rata).
  4. Dengarkan radio untuk dapatkan maklumat terkini mengenai keadaan setelah gempa selesai.
  5. Tenangkan diri anda dan bersedia untuk gegaran kecil yang datang selepas gempa bumi. Kebiasaanya gegaran kecil ini tidak seteruk gempa yang asal namun berkapasiti untuk mengakibatkan lebih banyak kerosakan.
  6. Periksa diri anda bagi sebarang kecederaan. Gunakan alatan bantuan kecemasan bagi kecederaan ringan dan tunggu bantuan bagi kecederaan kritikal.
  7. Padamkan api jika terdapat sebarang kebakaran.
  8. Elakkan dari menggunakan peralatan yang rosak akibat gempa bumi.
  9. Jangan sentuh tiang elektrik yang telah tumbang ataupun objek yang berdekatannya.
  10. Periksa perpaipan anda sebelum menggunakan tandas.
  11. Simpan kembali ubat-ubatan dan bahan kimia yang berbahaya ke tempat asal.
  12. Elakkan makan dan minum makanan yang terdedah dengan serpihan kaca pecah.
  13. Gunakan telefon hanya untuk kecemasan.
  14. Jauhkan diri anda dari bangunan yang terkesan akibat gempa bumi. Gegaran kecil mungkin meruntuhkan bangunan tersebut.
  15. Pastikan jalan raya di kawasan gempa bumi boleh dilalui oleh kenderaan bantuan kecemasan.
  16. Berikan sokongan emosi kepada mangsa lain yang trauma kerana kejadian gempa bumi yang berlaku.

0 Response to "Tidak Guna Menyorok Bawah Meja Ketika Gempa Bumi"

Post a Comment