"SAYA dapat bangun solat tahajud dan khatam Al-Quran dalam masa sebulan.
Itu adalah antara perkara yang tak pernah saya buat dalam hidup tetapi dapat dilakukan ketika berada dalam penjara," kata pelakon, pengarah dan penerbit, Datuk Farid Kamil
Farid berkata, itu adalah sebahagian pengalaman yang tak ternilai pernah dilaluinya di penjara.
Katanya, dalam keadaan bebas seperti sekarang pun, belum tentu kita ada peluang untuk melakukan semua itu.
Terdahulu, Farid ketika ditemui bersikap terbuka dan tenang berkongsi pengalamannya selama berada di dalam penjara.
“Secara umumnya, dalam setiap kebaikan, ada keburukan. Pengalaman ketika berada di sana (penjara) adalah perkara baru yang sukar untuk saya terjemahkan dengan kata-kata.
“Apa yang menarik, saya berpeluang menilai diri. Selain itu, saya juga diterima dengan sangat baik oleh mereka (banduan) yang berada di sana. Ia membuatkan saya terharu.
“Mereka tahu dan mengenali saya. Di sana, mereka beri sokongan kepada saya untuk jangan mudah jatuh, tetapi bangun semula dan teruskan berlari,” katanya.
Tambah pengarah filem Remp-It dan Remp-It 2 itu lagi, pada awalnya, dia membayangkan situasi di dalam penjara adalah sama seperti sering ditonton dalam filem.
“Pada peringkat awal, saya membayangkan situasi di dalam penjara adalah seperti apa yang pernah ditonton dalam filem Hollywood. Namun, realitinya sangat berbeza," katanya.
Mengulas mengenai tempoh hukuman dilaluinya, Farid memaklumkan bahawa hukuman penjaranya untuk peringkat awal kini sudah selesai .
Menurutnya, dia mahu kes itu diselesaikan dengan cara baik dan secepat mungkin.
“Secara keseluruhannya, setakat ini saya sudah menghabiskan tempoh hukuman selama dua bulan setengah di dalam penjara dan masih perlu selesaikan dua baki pertuduhan lagi.
“Sekarang, mahkamah sudah menggugurkan tiga pertuduhan terhadap saya. Kini, hanya tinggal dua lagi pertuduhan iaitu menghalang tugas polis dan juga berkelakuan tidak senonoh,” katanya.
Ditanya juga mengenai status kesnya, Farid memaklumkan pihaknya masih menunggu keputusan daripada Mahkamah Tinggi Putrajaya.
“Saya masih lagi menunggu keputusan daripada pihak mahkamah dan tarikh pun belum ditetapkan. Mereka akan maklumkan apabila semuanya sudah selesai.
“Kes saya mengambil masa lama kerana sudah beberapa kali bertukar peguam dan kalau boleh, saya mahu ia semuanya diselesaikan dengan cara baik.
“Saya tak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya.
Pada 15 Mei tahun lalu, Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap Farid selepas memilih untuk berdiam ketika diperintahkan membela diri.
Selepas dijatuhkan hukuman, Farid terus dihantar ke penjara apabila mahkamah menolak permohonannya untuk penangguhan.
Namun selepas 35 hari ditahan di Penjara Kajang, Farid dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sehingga rayuannya selesai.
Sumber: Harian Metro
sumber Sehinggit Media News
0 Response to "Hikmah Dipenjara, Farid Kamil Khatam Al-Quran Dalam Tempoh 30 Hari"
Post a Comment