'Tolonglah bantu saya jelaskan hutang RM90,000...' - Iqram Dinzly
PELAKON Iqram Dinzly yang diisytihar muflis, Isnin lalu memohon sumbangan ikhlas orang ramai bagi membantunya keluar dari masalah itu.
Iqram, 38, atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin yang juga cucu mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Said berkata, dia memerlukan lebih kurang RM90,000 jika ingin bebas dari senarai bankrupsi dan insolvensi.
“Saya dimaklumkan oleh peguam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), jika ingin bebas dari status berkenaan saya kena jelaskan lebih kurang RM90,000 dalam tempoh yang berbaki 20 hari lagi.
“Disebabkan itu, saya mengharapkan bantuan daripada orang ramai. Ini pertama kali saya buat macam ini. Saya berharap ada sedikit belas ihsan dalam diri mereka. Memadai jika saya dapat keluar daripada status muflis dan insolvensi supaya dapat membuat perancangan lain. Selebihnya, saya boleh ikhtiar cara lain.
“Saya tak malu nak minta bantuan. Biarlah orang nak kata apa. Kalau ini cara yang boleh menyelesaikan masalah saya, apa salahnya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Iqram, sekiranya gagal berbuat sedemikian sebuah rumah berupa unit kondominium dan dua kereta miliknya akan dilelong.
“Saya nak mengharapkan bantuan keluarga pun susah juga, sebab masing-masing ada komitmen. Dalam masa sama, takkan saya nak menyusahkan Mama pula. Saya tak nak bebankannya kerana dia pun ada banyak lagi tanggungan dalam keluarga.
“Diakui apabila timbul masalah ini, seorang rakan pun tak ada yang bertanya atau ingin menghulurkan bantuan. Saya pula jenis yang tak pernah mengungkit apa yang pernah dibuat sebelum ini.
“Kalau ada antara mereka yang ingat dan kenang jasa saya, mereka akan datang sendiri. Saya tak perlu tanya pun,” katanya.
Iqram berkata, jika ada yang ingin membantu boleh berhubung terus dengannya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Iqram diisytihar muflis oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas gagal membayar cukai pendapatan RM77,000.
Keputusan itu disampaikan peguam LHDN kepada Iqram di Mahkamah Majistret Ipoh, Isnin lalu.
Sumber : Harian Metro
Sumber 'Tolonglah bantu saya jelaskan hutang RM90,000...' - Iqram Dinzly
0 Response to "'Tolonglah bantu saya jelaskan hutang RM90,000...' - Iqram Dinzly"
Post a Comment