Proto-Dunia ataupun lebih dikenali sebagai Proto-Manusia, Proto-Sapien dan Proto-Bahasa-Manusia merupakan sebuah hipotesis tentang genetik pendahulu bahasa dunia. Hipotesis ini mengandaikan bahawa, semua bahasa moden di seluruh dunia pada hari ini berasal daripada satu bahasa purba. Menurut kajian daripada ahli bahasa dari Itali iaitu Alfredo Trombetti (1866-1929), bahasa purba ini pernah dituturkan antara 100-200 ribu tahun yang lalu; menghampiri kemunculan pertama Homo sapiens.
Menurut seorang ilmuwan Amerika Syarikat mengenai sejarah dan bahasa Afrika iaitu Christopher Ehret, bahasa ini mempunyai bunyi yang sangat kompleks termasuk bunyi klik seperti ʘ, ǀ, ǃ dan sebagainya. Menurut Murray Gell-Mann (Ahli Fizik Amerika Syarikat) dan Merrit Ruhlen (Ahli Bahasa Amerika Syarikat), ayat mudah dalam bahasa purba ini mempunyai susunan SOV iaitu Subjek-Objek-Kata Kerja.
Antara kosa kata yang Ruhlen berjaya jejaki pada tahun 1994 ialah *ku (Siapa). Perkataan itu membawa konsep kata tanya. Perkataan tersebut dipercayai telah diwariskan ke dalam bahasa seperti Khoisan (!kū), Swahili (gani), Masai (ka), Arab (ka), Aram (kə), Akkadia (kimaki), Sanskrit (kas), Latin (quis), Suomi (ken), Magyar (ki), Uyghur (kim), Manchu (aj), Korea (ka), Jepun (ka), Ainu (ka), Greenland (qangga), Avar (khin), Burushaki (ke), Hruso (khinia), Tiwi (kuwa), Vietnam (gi), Aztek (kaan), Aymara (kuna), Taruma (gaga) dan sebagainya.
Selain itu, *pal (Dua) adalah antara kosa kata yang berjaya dijejaki oleh Ruhlen pada tahun 1994. Perkataan itu membawa konsep nombor. Perkataan tersebut dipercayai telah diwariskan ke dalam bahasa seperti Khoisan (kam), Daka (bara), Nubia (barsi), Mocha (baro), Sanskrit (kapalam), Rusia (pol), Saami (bælle), Magyar (fél), Tamil (pāl), Telegu (pālu), Tasmania (boula), Ngiyamba (bulā), Sakai (hmbar), Temiar (bərnar), Nicobar (ã), Yao (wi), Mak (wa), Melayu (kembar), Jawa (kěbar), Quechua (pula) dan sebagainya.
Di samping itu, *par (Terbang) adalah antara kosa kata yang berjaya dijejaki oleh Ruhlen pada tahun 1994. Perkataan itu membawa konsep kata kerja. Perkataan tersebut dipercayai telah diwariskan ke dalam bahasa seperti Serer (fol), Dinka (par), Arab (farra), Mesir Purba (pʔ), Kartuli (pren), Avestan (parəna), Yukagir (perie), Tamil (para), Evenki (hār), Gilyak (parpar), Udi (pur), Basque (pimpirina), Tibet (phurba), Kondo (baro), Nahali (aphir), Khmer (par), Kam (pen), Formosa (maqbar) dan sebagainya.
Kemudian, *akwa (Air) adalah antara kosa kata yang berjaya dijejaki oleh Ruhlen pada tahun 1994. Perkataan tersebut membawa konsep alam sekitar. Perkataan tersebut dipercayai telah diwariskan ke dalam bahasa seperti Khoisan (k´´ā), Kwa (uuku), Tambaro (waha), Latin (aqua), Gothik (ahwa), Hittite (eku), Jepun (aka), Ainu (wakka), Tsakhur (joʁwi), Khaling(ku), Yareba (ogo), Australia (gugu), Hokan (aqa), Yakatek (uk’) dan sebagainya.
Seterusnya, *buŋku (Lutut) adalah antara kosa kata yang berjaya dijejaki oleh Ruhlen pada tahun 1994. Perkataan tersebut membawa konsep anggota badan. Perkataan tersebut dipercayai telah diwariskan ke dalam bahasa Khoisan (gom), Tegele (mbo), Dime (boq), Gothik (biugan), Inggeris (bow), Irish (bog), Latvia (baũgurs), Yakut (bük), Mongolia (bökeji), Manchu (bukda), Ainu (hepokiki), Modele (bubuqu), Yidiny (buŋgu), Walapai (mipuk) dan sebagainya.
Akhir sekali, *aja (emak) adalah antara kosa kata yang berjaya dijejaki oleh Ruhlen pada tahun 1994. Perkataan tersebut membawa konsep ahli keluarga. Perkataan tersebut dipercayai telah diwariskan ke dalam bahasa Khoisan (au), Temne (-ja), Midob (ija), Kotoko (ija), Tamil (āj), Kurux (ajo), Burushaki (ai), Isabi (aijo), Nahali (aji), Sora (ajangtsòr), Yao (ja), Sek (ja), Pazeh (jah), Melayu (‘ajah), Jawa (jajah), Washo (-ja), Coroado (ajan) dan sebagainya.
Kesimpulannya, itu adalah serba sedikit tentang bahasa Proto-Dunia. Setiap bahasa di dunia mempunyai makna yang berbeza walaupun perkataan yang sama. Sebagai contoh “pimpirina” dalam bahasa Basque membawa maksud “rama-rama” manakala “parəna” dalam Avestan membawa maksud “bulu” di mana “pimpirina” dan “parəna” berasal daripada *par yang membawa maksud “terbang” dalam Proto-Dunia. Namun sayangnya, hipotesis ini telah ditolak oleh ramai ahli bahasa pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20. Pada pendapat anda, adakah anda akan menerima hipotesis ini? Sila jelaskan di dalam ruangan komen di bawah.
Artikel disumbangkan oleh Alam Bahasa untuk The Patriots.
0 Response to "Proto-Dunia: Akar Kepada Bahasa Dunia"
Post a Comment