Operasi SAR insiden jambatan Pulau Pinang diteruskan lagi pagi ini



GEORGE TOWN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah kereta bersama pemandunya yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, awal pagi semalam disambung semula pukul 7 pagi hari ini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 ACP Rosman Ismail berkata operasi SAR yang ditamatkan kira-kira pukul 7 petang semalam dan bermula pagi ini dengan kekuatan kira-kira 30 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin dengan kerjasama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

 “Selain itu, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) turut terlibat dalam operasi hari ini dan sebanyak 5 buah bot masing-masing 2 dari Polis Marin dan JBPM serta sebuah dari APMM,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 Menurutnya, operasi SAR hari ini diperluaskan di kawasan 40 meter persegi radius berbanding 25 meter persegi radius semalam bagi mencari kereta jenis utiliti sukan Mazda CX-5 yang terhumban itu.



 “Selain itu, 4 anggota pasukan penyelam Polis Marin turut menyelam bagi mencari kereta dan pemandunya,” katanya.

 Rosman berkata, operasi SAR dihentikan pada pukul 7 petang semalam berikutan keadaan cuaca yang semakin gelap sebelum disambung semula pagi ini.

 “Kami harap operasi SAR hari ini berjalan lancar dan dapat menemui kereta berkenaan,” katanya. Dalam kemalangan pukul 2.54 pagi itu, sebuah kereta terhumban ke dalam laut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dekat sini awal pagi semalam.

Pemandu kereta yang terhumban ke dalam laut itu adalah seorang lelaki dikenali sebagai Moey Yun Peng berusia 20 tahun dan merupakan pelajar sebuah kolej swasta. - Bernama

Kereta terhumban ke laut selepas kemalangan di Jambatan Pulau Pinang


GEORGETOWN: Sebuah kereta dipercayai terhumban ke laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai di sini, awal hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Azlan Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.54 pagi yang memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan dengan sebuah daripadanya terhumban ke laut.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Perai yang tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dengan pemandunya berusia 20-an mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan berkenaan.

"Sebuah lagi kereta yang terbabit dalam kemalangan itu dilaporkan terjatuh ke dalam laut namun pihak kami belum dapat memastikan jenis kenderaan dan status mangsa dalam kereta itu,” katanya di sini, hari ini.

Azlan berkata operasi mencari dan menyelamat kenderaan serta mangsa yang terjatuh ke dalam laut itu dijalankan oleh anggota bomba bersama dengan pasukan Polis Marin.

Sementara itu seorang pemancing di kawasan tiang bawah Jambatan Pulau Pinang yang mahu dikenali sebagai Azrul, 30-an, sedang memancing bersama dua rakan sebelum melihat sebuah kereta terhumban ke dalam laut lalu tenggelam.

Beliau bersama dua rakan cuba mencari mangsa namun tidak menemui sesiapa.

"Waktu kereta itu terjatuh memang kami nampak tapi tak sempat perasan jenis kenderaan. Kami cuba cari mangsa dengan menyuluh guna lampu picit namun tidak menjumpai sesiapa di tempat kereta terjatuh," katanya.

Beliau berkata, mereka memaklumkan kejadian itu kepada Polis Marin yang membuat rondaan di kawasan berkenaan. - BERNAMA



Sumber Operasi SAR insiden jambatan Pulau Pinang diteruskan lagi pagi ini

0 Response to "Operasi SAR insiden jambatan Pulau Pinang diteruskan lagi pagi ini"

Post a Comment