Dengan akses internet hari ini, kita dapat melakukan banyak urusan secara dalam talian dari mencari maklumat hinggalah urusan perbankan dan pembelian secara dalam talian. Semua ini tidak akan berlaku tanpa pembabitan beberapa individu seperti Robert E. Kahn, Vint Cerf dan Tim Berners-Lee. Tetapi tahukah anda, pada satu ketika Kesatuan Soviet turut mempunyai cita-cita menghasilkan internet versi mereka sendiri, satu idea yang boleh mentransformasikan ekonomi negara berkenaan melebihi negara-negara lain. Tetapi ia terbantut angkara hasad dan kegagalan sesetengah pemimpin mereka melihat pulangan jangka panjang dari projek itu.
Versi internet Soviet ini digelar OGAS hasil idea seorang lelaki yang berpandangan jauh bernama Victor Glushkov. Gagasan ini sudah lama wujud sejak tahun 1960-an dan Glushkov tidak keseorangan dalam memperjuangkan visinya. Bukan sekali dua saintis dan penyelidik Soviet mahukan Kremlin menimbang idea kewujudan rangkaian komputer yang boleh menghubungkan semua jentera dan mesin dalam negara berkenaan. Jika ia dapat dilaksanakan, ia bukan saja menyaingi negara-negara blok Barat dari segi teknologi tetapi juga merevolusikan ekonomi mereka bertahun-tahun ke hadapan.
Tetapi jika ada yang menyangka Glushkov orang pertama yang memperjuangkan gagasan ini, anda salah. Idea OGAS yang digagaskan oleh beliau turut dipengaruhi oleh Anatoly Kitov. Kitov sudah membayangkan Kesatuan Soviet disambung dengan wayar-wayar merentasi seluruh negara bagi menghubungkan semua kegiatan ekonomi yang wujud ketika itu pada tahun 1959. Tetapi selepas menghantar surat kepada pemimpin Soviet iaitu Nikita Khruschev, beliau sedar cabaran merealisasikan visi berkenaan bukan saja dari segi teknologi tetapi juga dalam bentuk manusia.
Sebelum surat itu tiba pada pengetahuan Khruschev, pihak tentera berjaya memintas surat Kitov dan amat berang dengan cadangan Kitov yang mahukan pihak tentera berkongsi sumber dengan perancang ekonomi awam. Sebagai tindak balas, mereka mengaturkan satu tribunal rahsia untuk perbicaraan Kitov di mana beliau dipecat keahlian sebagai anggota Parti Komunis Rusia dan dibuang dari perkhidmatan tentera. Bagi penentang idea bersifat radikal ini, mereka menyangka ia sudah berakhir. Tetapi hakikatnya, ia diteruskan oleh Glushkov yang juga menantu Kitov.
Pada tahun 1962, OGAS mula dijaja kepada Kremlin sebagai cara untuk membawa Soviet ke hadapan. Ia sekaligus menjawab persoalan yang berkisar dalam kalangan warga Soviet: apa cara terbaik menjadikan komunisme sebahagian daripada masa hadapan. Tetapi tiada siapa yang dapat menjawabnya sehinggalah pengenalan gagasan ini. Menerusi OGAS, ia akan membentuk satu rangkaian merentasi tanah Eurasia di mana satu pusat komputer utama di Moscow sebagai pusatnya. Dari situ, ia akan dihubungkan dengan 200 pusat komputer tahap pertengahan yang dibina di bandar-bandar utama seperti St Petersburg dan Volgograd dan mengaktifkan lebih 20,000 terminal komputer di tempat-tempat yang dianggap nadi ekonomi utama Soviet. Bagi pakar ekonomi Soviet, idea sebegini jika ia direalisasikan boleh membawa kepada pengenalan sosialisme elektronik dan amat baik bagi negara mereka.
Gagasan OGAS ini digerakkan dari satu institusi diketuai Glushkov bernama Institut Sibernetik di mana beliau menjadi pengerusi institut berkenaan selama 20 tahun sehinggalah meninggal dunia pada tahun 1982. Selain OGAS, beliau bersama staf-stafnya turut membangunkan versi awal dompet elektronik iaitu sistem resit elektronik di mana bagi setiap transaksi akan dimasukkan dalam buku akaun dalam talian. Pasti ada yang mengatakan idea berkenaan bertentangan idea-idea yang dibawa Vladimir Lenin dan Karl Marx tetapi Glushkov tidak cepat melatah. Sebaliknya, sistem yang dibangunkan beliau ini sebenarnya memenuhi ramalan Marx yang melihat masyarakat sosialis menggunakan pembayaran elektronik atau maya pada masa akan datang. Idea Glushkov ini dianggap melampaui zaman dan pastinya mengujakan ramai hari ini tetapi kita bercakap tentang era 60-an. Idea sebegini mencetuskan keributan dalam kalangan orang ramai dan Politburo menolak usaha mendapatkan belanjawan untuk projek tersebut. Bagaimanapun, OGAS masih mendapat sokongan diperlukan dari Politburo dan mendapat sokongan belanjawan yang diperlukan Glushkov.
Bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah untuk Glushkov. Pada tahun 1970, OGAS sekali lagi dibawa ke pengetahuan Politburo untuk mendapatkan belanjawan diperlukan bagi merealisasikan projek berkenaan. Bagaimanapun, OGAS mendapat tentangan dari seorang menteri Rusia bernama Vasily Garbuzov. Garbuzov yang memegang portfolio kewangan menganggap projek berkenaan sebagai satu pembaziran dan ia hanya sekadar satu bentuk hiburan saja. Hakikatnya, Garbuzov sebenarnya tidak mahu wang kerajaan disalurkan kepada kementerian pesaingnya iaitu Pusat Pentadbiran Statistik di mana OGAS diletakkan di bawah pemantauan mereka.
Sebelum mesyuarat yang diadakan pada 1 Oktober 1970, beliau memberi amaran kepada Perdana Menteri Soviet ketika itu, Alexei Kosygin sekiranya Pusat Pentadbiran Statistik terus diberi dana untuk membiayai OGAS, maka Kementerian Kewangan bersedia menenggelamkan apa-apa unsur reformasi ekonomi yang cuba digerakkan Kosygin. Garbuzov sudah melakukannya sekali pada tahun 1965 apabila cubaan reformasi ekonomi yang digerakkan Kosygin gagal. Glushkov memerlukan sekutu yang kuat dalam berhadapan tentangan Garbuzov dan mengekalkan impian internet Soviet. Malangnya, tiada yang berani menyokong idea berani beliau ditambah pula dengan ketidakhadiran Kosygin dan setiausaha agung parti Leonid Brezhnev. Ketidakhadiran mereka seolah-olah memberi isyarat mereka menyokong idea berani Glushkov tetapi pada masa sama, enggan membiarkan usul sama mencetuskan keributan dalam Politburo gara-gara tindakan Garbuzov. Pada akhir mesyuarat, Politburo memutuskan untuk menghentikan semua dana disalurkan kepada OGAS.
Begitupun, Glushkov berusaha merealisasikan impian OGASnya selama 12 tahun sehingga ke akhir hayatnya. Dan masih ramai berkongsi impian sama dengan beliau termasuk abang ipar/adik iparnya Vladimir Kitov. Vladimir yang kini bekerja di Universiti Ekonomi Plekhanov Rusia di Moscow pernah menghasilkan sebuah perisian bagi pihak tentera untuk menguruskan kilang pembuatan kereta kebal mereka. Dan seperti Glushkov dan bapanya Kitov, beliau percaya sekiranya OGAS berjaya direalisasikan, ia akan menambah keberkesanan dalam proses membuat keputusan dan pengiraan rutin yang bersifat lebih tepat, sekaligus membantu kerajaan mentadbir soal ekonomi mereka dengan lebih berkesan.
Tetapi menurut Vladimir, sistem Soviet secara keseluruhannya memang tidak fleksibel. Tambah pakar komputer Oleg Guimaoutdinov, sistem berkenaan terbeban bukan saja akibat kerenah birokrasi yang melampau tetapi juga persaingan membabitkan kementerian-kementerian atau wilayah-wilayah yang tidak mahu kehilangan hak dan keistimewaan yang dinikmati selama ini. Dengan situasi di Soviet semakin meruncing pada tahun 1980-an lebih-lebih lagi dalam soal ekonomi, Soviet yang ketika itu diterajui Mikhail Gorbachev melancarkan reformasi ekonomi dengan harapan dapat mengubati kanser yang menyelubungi negara berkenaan. Dan itu memberi harapan kepada pejuang-pejuang OGAS untuk merealisasikan impian mereka walaupun ia sedikit terkesan dengan kematian Glushkov pada tahun 1982.
Salah seorang daripada mereka ialah juara catur Rusia dan saintis komputer Mikhail Botvinnik. Botvinnik berjaya menghasilkan program komputer awal untuk permainan catur dan cuba menggunakan taktik sama pada komputer untuk meniru otak juara catur, Algoritma tersebut digunakan untuk membentuk jadual pembaikan loji-loji tenaga Soviet. Ramai melihat OGAS sebagai penyelamat ekonomi Rusia dan ini cuba dijaja Botvinnik kepada Boris Yeltsin pada tahun 1990-an selepas kejatuhan Tirai Besi. Tetapi seperti Kitov dan Glushkov, impian Botvinnik juga hancur berkecai. Beberapa tahun selepas itu, World Wide Web (www) yang diperkenalkan Berners-Lee yang kita kenali hari ini menjadi sensasi pilihan dunia.
Apa yang cuba dicapai Kitov, Glushkov dan Botvinnik menunjukkan Soviet juga tidak ketinggalan dalam perlumbaan menghasilkan internet versi mereka sendiri. Tetapi disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kerenah birokrasi yang dicetuskan birokrat dan faktor kewangan, ia hanya sekadar satu lagi pelan di atas kertas. Tetapi ia menunjukkan walaupun mereka kalah dalam perlumbaan ini, sekurang-kurangnya mereka ada kemahuan dan visi untuk terus bersaing.
SUMBER
1. Peters, Benjamin. (2016). Aeon.co. The Soviet InterNyet. http://bit.ly/2emTzDY
2. Baraniuk, Chris. (2016). BBC. Why the forgotten Soviet internet was doomed from the start. https://bbc.in/2eEQT7j
0 Response to "OGAS: Impian Internet Kesatuan Soviet"
Post a Comment