Kontroversi Salib gergasi: ‘Kalau kita berdiri depa tangan pun macam salib’ – Mujahid



PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata beliau belum menerima laporan rasmi berhubung isu paparan lambang salib di Grace Residence, Jelutong, Pulau Pinang.

Menurutnya, beliau sudah berhubung dengan pihak Mufti Pulau Pinang dan kerajaan negeri berhubung perkara itu dan berharap ia akan diterima secepat mungkin.

Beliau berkata, isu paparan salib berkenaan perlu diteliti sama ada ia dilakukan dengan niat untuk menimbulkan keresahan dan sensitiviti agama atau hanya sekadar struktur saja.

“Kadang kala kita tengok sesuatu struktur itu nampak macam salib kalau dipandang dari jauh atau sisi atas, malah kalau kita depa tangan ketika berdiri, itu pun boleh dianggap sebagai salib.

“Isunya di sini, adakah ia dilakukan dengan niat atau sebaliknya. Saya difahamkan kalau dipasang lampu (pada bangunan itu), ia bukan tanda salib tetapi perkataan bahasa Mandarin yang membawa makna ‘ong’ (tuah). Saya tidak tahu, itu kata orang… saya belum menerima laporan rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Skim Bantuan Khas Kanak-Kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) Baitulmal oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, hari ini.


Sebelum ini, heboh di media sosial mengenai kewujudan lambang salib di Jelutong, yang dipamerkan pada sebuah bangunan pangsapuri baharu di kawasan berkenaan.

Perkara itu menjadi perbincangan hangat netizen, malah ia turut digelar sebagai ‘lambang salib paling besar di dunia’.

Difahamkan, lambang salib itu tidak dipamerkan dalam bentuk fizikal tetapi ia adalah pancaran cahaya daripada reka bentuk bangunan berkenaan yang menghasilkan cahaya berbentuk salib.

Mujahid turut menasihatkan semua pihak termasuk kontraktor dan pemaju supaya mengambil kira kesan jangka panjang dalam menghasilkan sesuatu struktur bangunan supaya tidak menimbulkan kebencian dan kerapuhan hubungan antara kaum dan agama di negara ini.



“Apa saja struktur yang dibuat sama ada dengan niat atau sekadar motif perlu difikirkan impaknya kepada orang lain, yang boleh disalah erti atau disalah gunakan untuk menimbulkan kebencian,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Sumber Kontroversi Salib gergasi: ‘Kalau kita berdiri depa tangan pun macam salib’ – Mujahid

0 Response to "Kontroversi Salib gergasi: ‘Kalau kita berdiri depa tangan pun macam salib’ – Mujahid"

Post a Comment