Kisah Akaun Giro Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Yang Pastinya Menyentuh Perasaan Kita Semua...



Sewaktu berkhidmat di kelantan, saya mengenali Abe Ya atau Zakaria sebagai pegawai keselamatan dan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Abe Loh sebagai pemandu kepada Almarhum Tok Guru Nik Aziz.




Saya sebenarnya sudah lama terfikir untuk menemui kedua-dua insan ini kerana mereka berpeluang berkhidmat dengan Tuan Guru. Bukan sekejap perkhidmatan mereka tetapi belasan tahun lamanya. Sudah pasti kalau saya ingin menulis, pasti banyak cerita menarik yang dapat saya coretkan daripada pengalaman mereka.

Saya ingin kongsikan sedikit pengalaman bersama Abe Loh. Sungguh bertuah Abe Loh kerana tempat tinggalnya berdekatan dengan kediaman Tok Guru di Pulau Melaka. Siapa yang mengenali Abe Loh ini tentu tahu perwatakannya yang lemah lembut dan suka senyum. Apa yang saya selalu tanya Abe Loh sewaktu menemuinya ketika menghantar Tok Guru ke mana-mana majlis ialah tajuk tazkirah yang disampaikan oleh Tok Guru di dalam kereta.

Tok Guru pernah beritahu saya, beliau tidak banyak tidur pada waktu malam. Oleh sebab itu Tok Guru biasanya ambil kesempatan untuk lelap seketika sewaktu dalam kereta menuju ke sesuatu majlis terutama yang jauh jaraknya. Jika Tok Guru tidak tidur, maka berpeluanglah pemandu dan pengawal keselamatan mendengar tazkirahnya.



Itu pengalaman biasa dengan Abe Loh. Pengalaman luar biasa berlaku apabila saya terserempak kereta rasmi Tok Guru yang sedang diletakkan di luar sebuah bangunan di tengah-tengah Bandar Kota Bharu. Saya lupa akan nama bangunan tersebut. Tetapi yang masih ingat di situ ada mesin ATM GIRO.

Kebetulan pada masa yang sama, saya ke sana kerana ingin mengeluarkan sejumlah wang. Kalau tidak salah pada waktu itu gaji belum masuk. Rupa-rupanya Abe Loh juga ingin mengeluarkan wang. Disebabkan hanya kami berdua sahaja yang ingin melakukan urusan tersebut maka sempatlah untuk saya bertanya khabar.

Saya beri peluang kepada Abe Loh untuk mengeluarkan wang terlebih dahulu manakala saya berdiri di belakangnya. Tidak berapa lama Abe Loh menoleh ke arah saya sambil tersenyum dan menyuruh saya mengambil giliran. Saya perasan beliau tidak mengeluarkan wang daripada mesin itu. Dia kemudian terus membuat panggilan kepada seseorang.

Selesai urusan saya, sempat kami berbual seketika, Rupa-rupanya Abe Loh diamanahkan untuk mengeluarkan sejumlah wang oleh Tok Guru daripada akaun Gironya untuk dikirimkan pada salah seorang anaknya yang sedang belajar di luar negara. Kalau tidak salah saya, anaknya itu adalah Nik Mohamad Abduh.

Jumlah yang diperlukan bukanlah banyak mana pun. Hanya lebih kurang jumlah yang saya belanjakan untuk beli susu jenis Bebelac untuk anak saya, Muhammad Alif Ameer yang berusia 4 tahun pada ketika itu. Tidak sampai pun RM 400.

“Duit tak cukup…” Kata Abe Loh spontan lalu tersenyum.

“Tok Guru royat gapo tadi bila tahu pitih tak cukup…?” soal saya.

“Semula…. Tunggu gaji.” kata Abe Loh.

SubhanALLAH….Seorang yang berstatus Menteri Besar, yang memimpin sebuah kerajan negeri perlu menunggu wang gaji untuk menghantar belanja kepada anaknya.

Mungkin perkara ini hanya berlaku kepada orang biasa sahaja. Tidak mungkin berlaku kepada seseorang yang sama pangkatnya seperti Tok Guru. Tetapi inilah hakikat yang berlaku dan saya menyaksikan sendiri. Mungkin Abe Loh masih ingat peristiwa ini.



Atas sebab inilah, saya tidak pernah susah hati jika tidak ada duit untuk berbelanja. Ini kerana saya sudah menjumpai insan hebat hafal al-Quran pun pernah tidak berduit.

Setakat saya ini, yang hanya hafal beberapa ayat-ayat lazim, itupun yang pendek-pendek, apa nak dihairankan kalau ALLAH bagi rezeki sedikit. Yang peliknya, ada orang yang mempunyai duit berjuta-juta tetapi masih lagi berasa tidak cukup. Maka bersyukurlah.

Sumber : Harakah Daily

7 Mutiara Kata Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

1 . ” Jika kereta rosak , mekanik akan membaikinya . Jika tubuh badan bermasalah , doktor yang akan mengubatinya . Jika kehidupan manusia bermasalah , maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk . Pelik sungguh manusia yang mengaku Allah SWT sebagai tuhan tetapi enggan merujuk kepada syarat Allah bila berdepan dengan masalah ”

2 . ” Perbezaan yang paling besar di antara manusia dengan makhluk yang lain ialah ilmu . Manusia diberikan kebolehan untuk diajar dan mengajar . Binatang ternakan contohnya , boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya , tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang yang lain . Berbeza dengan manusia , sedikit ilmu yang diperolehinya mampu dikembangkan dengan lebih meluas ”

3 . ” Kita tanam lada , 40 hari dapat hasil boleh jual . Tanam terung , dua tiga bulan dapat hasil . Tapi keuntungan tidak besar kerana itu hanya projek kecil-kecilan . Jika projek yang besar seperti tanam getah , bukan 40 hari tapi memakan masa bertahun . Semakin besar projek tersebut , semakin besar untungnya . Demikianlah juga pahala yang merupakan projek paling besar . Untungnya sangat besar jadi padanlah dengan menunggunya begitu lama iaitu selepas mati baru mendapat hasil “

4 . ” Jika memandu kita perlukan lesen , menggunakan senjata api perlukan lesen , maka hidup di dunia juga tentulah perlukan lesen . Lesen itu ialah Islam . Hidup di dunia dengan menolak Islam ialah umpama hidup tanpa lesen ”

5 . ” Bila kita beragama, dengan sendiri kita akan merasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati , ada Allah SWT sedang memantau . Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita terus lakukan dosa , tanpa ada yakin seperti itu manusia akan hilang brek . Kalau kereta hilang brek , ia akan terjun ke gaung . Tapi kalau manusia hilang brek , dia akan terjun ke neraka ”

6 . ” Pemuda adalah batu-bata dalam perjuangan Islam . Kerana itu pemuda mesti lengkapkan diri dengan ilmu dan perbanyakkan amalan sunat . Saya impikan untuk menjadi makmum dimana pemuda imamnya . Pendengar kuliah yang disampaikan oleh pemuda , saya hanya mahu datang dan dengar ”

7 . ” Allah menciptakan di dunia ini orang-orang kurang upaya untuk menjadi ujian kepada orang yang sempurna . Di akhirat kelak akan ditanya , setakat manakah kita orang-orang yang cukup upaya ini menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang upaya . Sebab itu , saudara-saudara kita yang kurang upaya sedikit untung kerana terlepas daripada soalan ini di akhirat nanti . Manakala yang sempurna tubuh badan pula perlulah pastikan duit yang dia ada pada hari ini sedikit sebanyak dia peruntukkan untuk beli pahala lain selain beli lauk-pauk , beras dan keperluan hidup ”

Semoga rohnya Allahyarham Tok guru sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman .



Al-Fatihah,
( Nik Aziz Nik Mat | 1931 – 2015 )

Sumber : Oh My Dakwah

Sumber Kisah Akaun Giro Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Yang Pastinya Menyentuh Perasaan Kita Semua...

0 Response to "Kisah Akaun Giro Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Yang Pastinya Menyentuh Perasaan Kita Semua..."

Post a Comment