"Guan Eng perlu rasa malu" - Timbalan Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu berasa malu dengan kenyataan hutang negara yang tidak selari dengan Laporan Ketua Audit Negara 2017.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, ini kerana data terbaru daripada Laporan Ketua Audit Negara 2017 itu jelas menunjukkan hutang negara pada tahun berkenaan ialah RM 686.8 bilion.
Katanya, berdasarkan laporan audit itu, hutang Kerajaan Persekutuan terdiri daripada hutang dalam negeri berjumlah RM 665.5 bilion manakala hutang luar negeri berjumlah RM 21.2 bilion.
Beliau berkata, berdasarkan jawapan tersebut, Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM 686.6 bilion atau 50.8% daripada KDNK.
“Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) harus berasa malu apabila mengulang-ulang hutang negara berjumlah lebih RM1 trilion bagi tujuan manipulasi persepsi rakyat. Hal ini menunjukkan hutang sebenar Kerajaan Persekutuan bukan melebihi RM 1 trilion seperti mana yang dimanipulasi oleh Kementerian Kewangan.
“Jumlah RM 1.08 trilion merujuk kepada obligasi tunai Kerajaan Persekutuan sehingga tahun 2045,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Semalam, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 Siri 1 dibentangkan di Parlimen oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad.
Dalam pada itu, Khairil berkata, Guan Eng harus bersikap profesional untuk tidak menimbulkan persepsi buruk tentang kewangan kerajaan sehingga menjustifikasikan penangguhan kepentingan rakyat yang lain.
“Banyak kepentingan rakyat terpaksa ditangguhkan terutama projek-projek di luar bandar kerana menggunakan alasan hutang kerajaan melebihi RM 1 trilion,” katanya.
Sumber "Guan Eng perlu rasa malu" - Timbalan Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam
0 Response to ""Guan Eng perlu rasa malu" - Timbalan Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam"
Post a Comment