Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz terkejut beruk dengan nilai rampasan, wang tunai RM100 juta



Anggota Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyatakan rasa terkejut dengan nilai rampasan di kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah beliau sendiri tidak pernah mengetahui Najib dan isterinya, Rosmah Mansor memiliki barangan mewah sebanyak itu.

“Saya tidak tahu tentang Rosmah. Saya tak tahu SRC International Sdn Bhd (SRC).

"Jadi kita kena benarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk buat penyiasatan dan kalau ada kes prima facie, dakwalah.

“Saya baru tahu duit RM100 juta, takkan saya nak marah perdana menteri kalau dia buat macam tu (siasat). Itu sahaja,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Pada Jun lalu, polis melakukan beberapa siri serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan Najib dan merampas pelbagai barangan mewah dan wang tunai berjumlah RM116.7 juta dalam 26 mata wang.

Barangan yang dirampas terdiri daripada 567 beg tangan mewah, 423 jam tangan, 234 cermin mata hitam dan lebih 10,000 unit barang kemas yang mengikut pasaran dianggarkan antara RM910 juta dan RM1.1 bilion.



Baca: Barangan rampasan - 2,200 cincin, 2,100 gelang, 1,400 rantai

Najib dan pemimpin Umno lain mendakwa wang berkenaan adalah milik parti itu.

Bekas perdana menteri itu juga berkata sebahagian besar barangan yang dirampas adalah 'hadiah'.

Najib kini menghadapi tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Nazri dalam wawancara dengan Malaysiakini sebelum PRU14, menegaskan Najib tidak bersalah dalam semua pertuduhan berhubung 1MDB.

"Pertama sekali, jika anda ingin rasa mudah mempertahankan (seseorang), anda mesti percaya dia tidak bersalah. Jika saya tidak percaya dia tak bersalah, maka ia akan jadi sukar," katanya.

Baca: Nazri: Mudah pertahan Najib

'Tiada budaya menentang PM'

Nazri berkata kelantangan beliau dalam mempertahankan Najib  sebelum ini disebabkan beliau sentiasa percaya dengan apa yang dinyatakan oleh seseorang presiden parti.



“Terkejut saya. Sebab saya percaya kita sebagai ahli parti (kena sokong). Macam zaman Dr Mahathir dululah. Dia (Mahathir) presiden apa dia cakap, kita tak siasat dah.

"(Mahathir) tuduh Anwar begitu begini kita setia, begitu juga Pak Lah dan Najib, kalau apa yang mereka tak cerita pada kita, kita sokong.

“Saya pilih untuk tak cakap banyak sebab saya nak tengok apa lagi yang akan keluar dan tiada kesalahan yang dibuat oleh perdana menteri. Dan (saya) tak sokong sekiranya duit rakyat dihilangkan,” katanya.

Ditanya mengenai kelantangnya sebelum ini dalam mempertahan Najib, Nazri berkata beliau sudah lama berada dalam kerajaan dan agak sukar menjadi pembangkang.

“Saya pernah duduk dalam kerajaan tapi selepas 28 tahun saya nak bangkang kerajaan susahlah melainkan mereka ada buat kesalahan.

"Saya tiada budaya menentang perdana menteri, itu bukan budaya saya.

“Saya rasa rakyat telah buat keputusan. Macam pada PRU14, kita lawanlah, jadi selepas election, keputusan sudah dibuat.

"Nak lawan pasal apa lagi. Beri peluang, tunggulah dua tahun sebelum PRU kita tengoklah nanti,” katanya.

sumber : malaysiakini

Sumber Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz terkejut beruk dengan nilai rampasan, wang tunai RM100 juta

0 Response to "Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz terkejut beruk dengan nilai rampasan, wang tunai RM100 juta"

Post a Comment