Serbuan SPRM dibuat hanya untuk malukan Tun Daim?



PETALING JAYA: Akhbar New Straits Times Singapura mengetengahkan beberapa persoalan mengenai motif di sebalik serbuan Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) ke atas syarikat milik China pada saat penasihat utama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin mengadakan siri pertemuan dengan pemimpin kerajaan di Beijing.

Dalam laporannya dari Kuala Lumpur, akhbar itu berkata rundingan Daim “terkeluar landasan” oleh serbuan itu, yang dilakukan Rabu lepas.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, akhbar itu menjangka serbuan tersebut memang dirancang sama ada untuk memalukan Daim, yang dilihat sangat berkuasa sebagai pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, atau bertujuan menekan kerajaan China pada waktu Malaysia cuba berunding semula mengenai terma pinjaman daripada China untuk 2 projek saluran paip gas dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Daim berada di China sebagai wakil khas Dr Mahathir bagi membuka jalan kepada lawatan perdana menteri itu bulan depan.

Menurut laporan tersebut, Daim “tergamam” apabila diberitahu tentang serbuan itu oleh pegawai China beberapa ketika sebelum beliau menemui Menteri Luar, Wang Yi, tetapi menegaskan Malaysia serius mahu mengekalkan hubungan baik dengan China.

Akhbar Straits Times menyebut, spekulasi dalam kalangan eksekutif pembinaan Malaysia bahawa China melihat serbuan itu sebagai strategi untuk mendesak konsesi di pihak China dinafikan oleh sekutu Daim.

Dr Mahathir menuduh kerajaan lepas pimpinan Datuk Seri Najib Razak menyetujui perjanjian berat sebelah yang menguntungkan syarikat China berhubung kontrak pembinaan mega saluran paip gas dan ECRL. Beliau mahu terma kontrak dirundingkan semula.

Bulan lepas timbul persoalan tentang kemungkinan penglibatan China dalam skandal rasuah 1MDB dan beberapa syarikat berkaitan.

Awal bulan ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir menggantung kerja projek tersebut berikutan dakwaan rasuah dan kos projek yang tinggi yang melibatkan 2 syarikat milik kerajaan China, iaitu China Petroleum Pipeline Bureau dan China Communications Construction Company.

Laporan itu meramalkan kakitangan kerajaan yang memihak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mungkin mendesak SPRM melakukan serbuan bagi menyulitkan hubungan Malaysia dengan China.

Turut diramalkan ialah kemungkina serbuan itu merupakan reaksi terhadap kuasa meluas Daim sebagai pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang dianggotai oleh Tan Sri Robert Kuok, yang mempunyai hubungan rapat dengan China, dan bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Ia menyebut, puak-puak politik dalam kerajaan PH berasa bimbang akan kemungkinan Daim menggunakan usaha membaik pulih syarikat milik kerajaan untuk kepentingan penyokong dan sekutunya.

Serbuan SPRM Rabu lepas dikatakan berkaitan dengan penyiasatan ke atas projek Multi-product Pipeline, Trans-Sabah Gas Pipeline dan ECRL. Dua projek saluran gas tersebut melibatkan kontrak bernilai RM9.4 bilion. Kos asal ECRL dikatakan berjumlah RM56 bilion, tetapi kerajaan PH berkata angka akhirnya mungkin mencecah RM81 bilion.

Sumber Serbuan SPRM dibuat hanya untuk malukan Tun Daim?

0 Response to "Serbuan SPRM dibuat hanya untuk malukan Tun Daim?"

Post a Comment