Zulfadli, Chun Seang hadapi enam pertuduhan atur perlawanan

Hari pertama pendengaran kes BWF melibatkan pemain perseorangan Zulfadli Zulkiffli, 25, dan Tan Chun Seang, 31, bermula hari ini.— Foto ihsan Facebook/Kejohanan Badminton DuniaHari pertama pendengaran kes BWF melibatkan pemain perseorangan Zulfadli Zulkiffli, 25, dan Tan Chun Seang, 31, bermula hari ini.— Foto ihsan Facebook/Kejohanan Badminton DuniaSINGAPURA, 26 Feb — Dua pemain badminton Malaysia masing-masing menghadapi enam pertuduhan mengatur perlawanan, yang kebanyakannya  dilakukan pada 2013, kata pemerhati Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Jadadish Chandra.

Hari pertama pendengaran kes itu oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), yang melibatkan pemain perseorangan Zulfadli  Zulkiffli, 25, dan Tan Chun Seang, 31, bermula di sini, hari ini.

“Satu daripada perlawanan itu ialah Grand Prix Korea,” kata Jadadish kepada pemberita selepas pendengaran itu.

Jadadish, yang juga anggota majlis BAM, adalah anggota utama jawatankuasa peraturan, disiplin dan integriti badan kebangsaan itu.

Beliau berkata BWF mengetahui tentang aktiviti mengatur perlawanan melibatkan dua pemain itu berikutan laporan yang dibuat seorang pemain.

“Ia bukan pemain Malaysia dan tiada kaitan dengan pemain Denmark,” katanya.

Jadadish berkata empat saksi dari tiga negara memberi kenyataan hari ini, manakala dua lagi akan memberi keterangan esok.

Pendengaran itu akan bersambung pada 10 pagi esok.

Ditanya tentang pendengaran itu, Jadadish berkata: “Saya tiada isu berkaitan prosedur. Panel terlibat amat adil. Saya berharap keadilan dapat ditegakkan  nanti.

“Pemain  berkenaan juga memberi kerjasama yang amat baik,” katanya.

Jadadish berkata bahan  bukti  pihak  pemain akan dikemukakan pada pendengaran itu esok.

“Para pemain itu  tidak memberi  keterangan pada sesi hari ini. Esok merupakan hari pembelaan. Pihak peguam yang mewakili pemain akan menyoal balas saksi,” katanya.

Jadadish berkata beliau tidak menjangka BWF akan memberi keputusan kes itu esok kerana lazimnya “sesuatu keputusan akan diserah secara bertulis berserta dengan alasan  kepada kami”.

Zulfadli, bekas juara remaja dunia 2011, dan Tan, yang pernah beraksi pada kejohanan Piala Thomas 2010, masing-masing diwakili dua peguam pada pendengaran dua hari itu.

Pendengaran dikendalikan panel tiga anggota daripada BWF.

“Mereka adalah dari tiga negara,” kata Jadadish. — Bernama



Sumber Zulfadli, Chun Seang hadapi enam pertuduhan atur perlawanan

0 Response to "Zulfadli, Chun Seang hadapi enam pertuduhan atur perlawanan"

Post a Comment