Pada setiap tahun, hospital dan klinik-klinik di mana-mana sudah terbiasa menerima kehadiran ibu-ibu muda yang mahu melahirkan anak. Berbagai-bagai keadaan, cadangan dan juga rintihan dari diri sendiri, keluarga dan ada juga yang datang bersama kawan-kawan.
Ini merupakan bulan yang biasa mereka datang.
1. April – Mei.
2. September – Oktober.
3. November – Disember.
Ke 3-3 kumpulan bulan ini merupakan audien yang boleh dikatakan sama, boleh jadi juga orang baru. Malah, ada doktor yang boleh cam wajah dan nama mereka ini kerana berbagai kes dan cerita yang mereka terpaksa hadapi semasa proses melahirkan anak-anak mereka.
Yang mana ada yang menghilangkan diri, ada yang terus pulang ke kampung meninggalkan anak-anak, ada juga ibu bapa yang sudah siap sedia untuk hantar anak-anak ke pusat pemulihan serta ada juga yang mahu menjaga anak tersebut sendiri-sendiri.
Dikatakan, seramai 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2005-2015.
Dan jumlah ini sangat menakutkan.
Minggu lalu, saya bersembang dengan seorang doktor yang bertugas di sebuah hospital besar. Yang mana beliau maklumkan yang perkara ini menjadi keseronokan buat anak-anak, namun sebuah ketakutan buat ibu bapa.
Tiada solusi. Tiada juga kaedah terbaik dalam menyelesaikan.
Lebih lagi ada yang perli-perli mengatakan kembali kepada agama dan sebagainya. Mereka ini boleh jadi:
1. Memang bergaul bebas.
2. Sekadar nak cuba, dan itu pertama kali melakukan seks. Namun terus hamil.
3. Dirogol, namun menyayangi kekasih dan mengatakan itu adalah kerelaan.
Ada banyak lagi. Namun yang mahu disebutkan dalam hal ini ialah kelahiran tersebut menambah jumlah bayi di dalam negara dalam keadaan tanpa kerelaan. Anak ini tak berdosa, kecil, lemah, langsung tidak berbuat apa-apa kepada kita semua. Namun lahir atas dosa 2 pelaku yang mendahului keseronokan dari berbuat perhubungan halal.
Kata doktor tersebut,
“Anak-anak kita semua dimomokkan dengan ketakutan berhubung sana sini, lalu mereka mahu mencuba. Sedangkan pada zaman kita dahulu, emak ayah kita marah kita berkawan dengan jantina berlainan dengan berterus terang sahaja. Contohnya: “Jangan nak berkawan-kawan dengan lelaki, kau itu perempuan, kena jaga, aurat kena jaga, nanti diusik, dipegang sana sini, kau malu, jangan cuba-cuba, malu!”
Malah, dari kecil, memang sudah diberitahu tak boleh pakai begitu begini kerana akan nampak begitu begini dari mata orang lain.
Didikan ini bermula dari rumah. Dan beliau tahu saranan ini hanya sekadar untuk ibu bapa yang punya anak-anak kecil. Yang sudah berusia, sudah remaja dan sudah pun susah untuk dilentur, itu memang peperangan besar yang perlu dihadap sebaik-baiknya.
Katanya, inilah yang wajar untuk diperbuat kepada anak-anak kita:
1. Umur 1-3 tahun, didik anak supaya sentiasa memakai tuala untuk ke bilik air, mandi, buang air dan sebagainya. Tutup semua bahagian kemaluan walau dia hanya anak kecil.
2. Pada umur 3-5 tahun, teruskan tutup dan mula bercerita yang beberapa bahagian pada badan itu merupakan bahagian yang sentiasa perlu ditutup dan tidak boleh ditunjukkan kepada sesiapa. Ajari dengan bentuk bercerita dan praktiskan kepada anak supaya ia jadi habit.
3. Umur 5-7 tahun, mula ajar anak-anak tentang bahagian-bahagian yang haram disentuh oleh sesiapa walau ahli keluarga. Sekiranya ada yang berbuat begitu, wajib maklumkan.
Beritahu yang bahagian-bahagian tersebut merupakan aurat yang nyata dan dilarang sama sekali melihat dan juga tidak boleh sebarangan disentuh.
4. Umur 8-12 tahun, jika anak perempuan, ibu perlu banyak bersembang, berbincang dan sentiasa update tentang hal-hal uzur. Beritahu tentang keperluan memakai pad, kesihatan, teknik mencuci dan bagaimana menjaganya dengan sebaik-baiknya.
Jika anak lelaki, si ayah perlu bersembang tentang tanggungjawab, mengapa terjadinya mimpi, serta bagaimana ingin menyucikannya.
5. Umur 13 tahun ke atas adalah medan paling mencabar. Di sini anak-anak akan mula berkawan dan di situ adalah lapangan paling besar untuk anak mencuba segala apa yang kita pernah larang atau didik. Jadi, pemakaian dan asuhan sentiasa perlu dikemaskini setiap masa.
Update siapa yang anak berkawan dan ibu bapa juga perlu berkawan dengan semua anak-anak supaya mereka ini menghormati hak anak-anak dan juga berkawan hanya sekadar berkawan.
Prinsip berkawan dengan kawan anak-anak sangat berjaya dilakukan di beberapa negara yang cuba mengatasi masalah sosial anak-anak. Ia memberikan sebuah aura atau kuasa lain dalam pemikiran anak-anak dan kawan-kawannya tentang tanggungjawab serta rasa berkeluarga.
Jika kalian lihat, ini merupakan kempen pencegahan. Namun, apabila sudah remaja, sudah besar, dewasa dan sebagainya, proses untuk melawan segala bencana dalam hal-hal kehamilan tanpa restu ini, merupakan sebuah perjuangan besar-besaran dalam mana-mana komuniti pun.
Jika kalian lihat, di negara kita ini, 3-3 kelompok tarikh tersebut adalah hari yang biasa kita semua raikan. Iaitu, Merdeka, Tahun baru dan juga Hari Kekasih.
Dan iya, hari itulah dikatakan simboliknya kemerdekaan anak muda, simbolik juga meraikan tahun baru dalam dunia cinta mereka serta simbolik kasih sayang di hari valentine dengan melakukan adegan sumbang di mana-mana kawasan yang telah ditempah khas.
Maka, 9 bulan selepas itu, berkerja keraslah para nurse dan doktor-doktor menyambut kelahiran ini. Kemudiannya menghantar semuanya ke rumah-rumah kebajikan. Penuhlah segalanya dengan caci-caci dan perkataan anak luar nikah, sedangkan yang berbuat jahat dan hilang kasih sayang itu bermula dari seorang gadis dan seorang jejaka yang hanya mahu keseronokan beberapa minit sahaja.
Ingat kawan,
Didikan adalah dari rumah. Ianya tetap dari rumah, bergaduhlah kot mana pun, salahlah ke sesiapa pun, jujurnya dan terimalah, ia dari rumah kita semua, dan kawan, ianya sebuah perjuangan yang tak pernah ada titik. Selagi hayat dikandung badan, tubuh anak adalah sebuah istimewa yang wajib kita semua lindung. Wajib!
Khairul Hakimin Muhammad
Tiada hari kekasih.
Sumber Sebelum Pendidikan Seks, Ajari Ini Dulu Kepada Anak Anda!
0 Response to "Sebelum Pendidikan Seks, Ajari Ini Dulu Kepada Anak Anda!"
Post a Comment