Rumah simpan barangan lusuh musnah terbakar

CHERAS: Sebuah rumah yang dijadikan tempat menyimpan barangan lusuh di Jalan 3, Kampung Cheras Baru di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.06 petang.

Katanya, seramai 13 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan serta Ampang bergegas ke lokasi dengan tiga jentera, termasuk sebuah Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS)

"Sebaik tiba, kami mendapati api sedang merebak ke hampir seluruh struktur rumah itu. Api berjaya dikawal kira-kira 10 minit kemudian," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tiada orang awam berada di dalam premis terbabit ketika kejadian.

"Berdasarkan maklumat awal, tiada mangsa tercedera dalam kejadian ini. Kebakaran menyebabkan kemusnahan 100 peratus struktur bangunan.

"Pasukan forensik yang tiba sejurus api dipadamkan, sedang menjalankan siasatan berhubung punca kejadian. Anggaran kerugian juga belum diperoleh," katanya.



Sumber Rumah simpan barangan lusuh musnah terbakar

0 Response to "Rumah simpan barangan lusuh musnah terbakar"

Post a Comment