PM ikrar bawa banyak pembangunan ke Langkawi

LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan peruntukan besar bagi menaik taraf sistem bekalan air di pulau untuk jangka masa panjang di sini, esok.

Beliau juga berikrar akan terus membawa lebih banyak pembangunan bagi merealisasikan potensi besar Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Najib turut memberi jaminan kepada 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili komuniti Cina di Langkawi pada majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina, bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) komited meningkatkan infrastruktur awam untuk rakyat dan pelancong di pulau ini.

Beliau kemudian turut mengumumkan bersetuju melantik wakil dari komuniti Cina dari pulau ini untuk menjadi Ahli Lembanga Pengarah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Najib berkata, Langkawi mempunyai potensi untuk dibawa ke tahap pembangunan yang lebih tinggi dan tidak dinafikan sejak ia diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai, banyak yang sudah berubah.

"Saya ingin lihat Langkawi terus maju sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini di mana Blueprint Pelancongan Langkawi 2.0 sudahpun kita lancarkan dan saya meluluskan peruntukan membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

"Saya juga berusaha mendapatkan penerbangan terus dari China ke Langkawi di mana sebelum ini sudah melancarkan penerbangan Air Asia terus dari China ke Langkawi," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Cina Langkawi sempena Tahun Baru Cina, Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), sebentar tadi.

Turut hadir Menteri Pendidikan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad; barisan EXCO Kedah dan ADUN Kuah, Nor Saidi Nanyan serta Penasihat Persatuan Perniagaan Cina Langkawi, Datuk Chen Lai Peng.

Najib menambah, beliau juga akan membawa hotel bertaraf antarabangsa ke pulau ini kerana apabila ada pusat penginapan seperti itu, ia secara tidak langsung dapat menarik pelancong yang ada kemampuan tinggi untuk membeli belah dan bercuti di sini.

"Ia sudah tentu memberi faedah kepada pengusaha di Langkawi sebagai penjual barangan, perkhidmatan, restoran termasuk pengusaha hotel dengan kehadiran pelancong ini," katanya.

Beliau menegaskan turut tidak melupakan projek asas untuk rakyat yang mesti diteruskan, termasuk peruntukan besar menyelesaikan bekalan air dan perumahan.

"Saya juga melancarkan dua projek rumah mampu milik untuk rakyat di pulau ini. Saya yakin menerusi apa yang diusahakan itu, Langkawi akan terus mempunyai masa depan cerah.

"Hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu membangunkan Langkawi dan soal masa depan pulau ini tidak boleh terjamin sekiranya tidak terus memilih Ahli Parlimen BN di Langkawi," katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat hanya ada dua plihan sama ada ingin memilih parti terkuat (BN) yang mempunyai kuasa dan boleh menentukan dasar negara dalam pembangunan, atau memilih individu atau personaliti yang bersandarkan kepada sejarah dan sentimen semata-mata.

"Kalau kita pilih seorang individu yang pernah pegang jawatan Perdana Menteri sekalipun tetapi kalau partinya tidak tentu kedudukannya, sama ada boleh menang beberapa kerusi atau tidak, sukar untuk menentukan hala tuju dan dasar negara.

"Sebaliknya, jika memilih Ahli Parlimen BN Langkawi akan dapat terus dibangunkan," katanya.



Sumber PM ikrar bawa banyak pembangunan ke Langkawi

Related Posts :

0 Response to "PM ikrar bawa banyak pembangunan ke Langkawi"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect
This website attempted to run a cryptominer in your browser. Click here for more information.