Jumlah makin menurun, 91 maut dalam Op Selamat

Sebanyak 9,466 kes kemalangan dan 91 kes kematian dicatatkan sepanjang Op Selamat sejak 9 Februari 2018. — Foto oleh Hari AnggaraSebanyak 9,466 kes kemalangan dan 91 kes kematian dicatatkan sepanjang Op Selamat sejak 9 Februari 2018. — Foto oleh Hari AnggaraKUALA LUMPUR, 16 Feb — Op Selamat 12 sempena perayaan Tahun Baharu Cina bermula Jumaat lalu menyaksikan penurunan jumlah kematian dan kemalangan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, SAC Sharul Othman Mansor berkata hingga kini sebanyak 9,466 kes kemalangan dan 91 kes kematian dicatatkan berbanding 10,020 kes kemalangan dan 98 kes kematian tahun lalu dalam tempoh yang sama.

“Dalam tempoh enam hari pelaksanaan operasi ini, bilangan kemalangan menurun 554 kes berbanding tempoh sama tahun lepas,” katanya pada sidang media sempena Op Selamat 12 di Plaza Tol Sungai Besi di sini, malam ini.

Menurut beliau, ​​​​​​ penunggang dan pembonceng motosikal menjadi penyumbang utama kepada 91 kematian itu, yang melibatkan 61 mangsa.

“Oleh itu, Op Selamat 12 akan memberi tumpuan kepada pengguna motosikal, selain enam kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya," katanya.

Enam  kesalahan utama itu ialah memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memotong barisan.

Menurut Sharul Othman, setakat ini, polis mengeluarkan 89,385 saman bagi pelbagai kesalahan jalan raya.

"Saman yang dikeluarkan ini akan dikenakan bayaran maksimum dan tiada sebarang diskaun diberi sepanjang Op Selamat dijalankan," katanya mengenai kempen itu yang berlangsung hingga 21 Februari ini.

Tahun Baharu Cina disambut hari ini. — Bernama



Sumber Jumlah makin menurun, 91 maut dalam Op Selamat

0 Response to "Jumlah makin menurun, 91 maut dalam Op Selamat"

Post a Comment