Hilang 13 hari, staf Mahkamah Syariah KL ditemui di Batu Pahat

Kakitangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang hilang sejak 12 Februari lalu ditemui selamat di rumah neneknya dekat Batu Pahat, hari ini. — Paparan skrin GoogleKakitangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang hilang sejak 12 Februari lalu ditemui selamat di rumah neneknya dekat Batu Pahat, hari ini. — Paparan skrin GoogleJOHOR  BARU, 25 Feb — Kakitangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Azmee Elias, yang hilang sejak 12 Februari lalu, ditemui selamat di rumah neneknya di Simpang Lima, Perserai, dekat Batu Pahat, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata Azmee, 36, yang merupakan Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

“Mangsa (Azmee) ada di HSNI, mangsa ditemui di rumah nenek mangsa di Simpang Lima, Perserai. Sekarang mangsa sedang mendapatkan rawatan. IO (pegawai penyiasat) kes sedang perjalanan ke Batu Pahat,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Kes kehilangan Azmee yang turut dikenali ‘mie Dark Prince’ sebelum ini tersebar luas di media sosial dan dia kali terakhir dilihat pada 12 Feb lepas di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan sebelum ini dilaporkan berkata kenderaan Perodua Alza milik Azmee ditemui di tepi jalan di Jenderam Hulu dekat Dengkil, Sepang, dengan keadaannya sedikit berselerak.

Beberapa  dokumen milik Azmee, antaranya surat pejabat dan peribadi di bahagian hadapan kereta, didapati berselerak walaupun kereta ditemui dalam keadaan berkunci.

Penemuan Azmee hari ini turut tular di laman media sosial dengan dikatakan dia dijumpai bapa saudaranya pada 4 petang di rumah arwah neneknya, dalam keadaan terlentang di hadapan pintu rumah dan tidak sedarkan diri

​​​​​​​Difahamkan bapa saudaranya itu kemudiannya menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan. — Bernama



Sumber Hilang 13 hari, staf Mahkamah Syariah KL ditemui di Batu Pahat

0 Response to "Hilang 13 hari, staf Mahkamah Syariah KL ditemui di Batu Pahat"

Post a Comment