Mahu jumpa anak, wanita palsukan berita dirinya lemas

Dia dikatakan mahu membunuh diri tapi dapat dipujuk keluarga dan rancangan lemas dibuat kerana berharap anak-anak akan datang berjumpanya, kata ketua polis Maran.

palsu-berita-lemasKUANTAN: Seorang wanita 38 tahun nekad memalsukan berita dirinya lemas dipercayai kerana mahu berjumpa dengan anak-anaknya selepas bercerai sejak 2 bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata wanita itu bersama-sama keluarganya tampil ke Balai Polis Jengka pagi ini untuk menjelaskan laporan polis dirinya dikhuatiri lemas semalam tidak benar.

Laporan polis yang dibuat ibu wanita itu pada sekitar 4.15 petang, mendakwa “mangsa” terjatuh ke dalam sungai semasa memancing di sungai Felda Jengka 15, Maran.

“Siasatan awal mendapati wanita itu menetap dengan ibunya selepas bercerai manakala 4 anaknya berada bawah jagaan bekas suami di Dong, Raub.

“Dia dikatakan mahu membunuh diri di lokasi kejadian tapi dapat dipujuk keluarga. Rancangan lemas dibuat kerana dia berharap anak-anak akan datang berjumpanya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Norzamri menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan wanita itu akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan perkhidmatan kaunseling.

Beliau juga mengesahkan perkembangan itu menyebabkan operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang sejak semalam dihentikan hari ini.

Semalam, ibu wanita itu, 55, membuat laporan polis kononnya anaknya terjatuh ke dalam sungai itu selepas mendengar bunyi benda jatuh ke dalam sungai dan “mangsa” memintanya untuk mencari kayu bagi menarik dirinya ke tebing.

Bagaimanapun ibu mangsa mendakwa dia hanya sempat menarik tudung anaknya sebelum melihat “mangsa” tenggelam dibawa arus sungai.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Mahu jumpa anak, wanita palsukan berita dirinya lemas

0 Response to "Mahu jumpa anak, wanita palsukan berita dirinya lemas"

Post a Comment