Lebam dipukul 15 pelajar senior

KEPALA BATAS: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di sebuah sekolah berasrama penuh di Kepala Batas, Pulau Pinang mengalami lebam di beberapa anggota badan selepas mendakwa dipukul lebih 15 pelajar senior, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa mendakwa telah dipukul pada badan, ditampar dan ditendang oleh sekumpulan pelajar senior di koridor tingkat tiga asrama lelaki sekolah berkenaan.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat salah faham sehingga mendatangkan rasa tidak puas hati seorang pelajar Tingkatan 4 kerana diejek dan ditertawakan mangsa.

Noorzainy berkata, mangsa yang membuat laporan polis di Balai Polis Kepala Batas kira-kira jam 8.50 malam Ahad memaklumkan, ketika kejadian, terdapat 30 pelajar menyaksikan kejadian tersebut namun hanya 15 yang dikenal pasti memukulnya.

Selain mangsa, terdapat tiga pelajar lain turut dipukul oleh kumpulan pelajar senior tersebut namun masih belum membuat laporan polis.

Kata Noorzainy lagi, setakat ini polis telah memanggil beberapa pelajar yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu hari ini untuk direkodkan keterangan dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Siasatan lanjut masih dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.



Sumber Lebam dipukul 15 pelajar senior

0 Response to "Lebam dipukul 15 pelajar senior"

Post a Comment