Khairy arah PJS segera buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) diarah membuat laporan polis selewat-lewatnya esok terhadap penganjur Klang City International Marathon susulan kemalangan membabitkan tiga peserta di Jalan Kapar Batu 2, awal pagi semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata tindakan itu diambil selepas acara berkenaan dilaksanakan tanpa kebenaran daripada PJS selaku pihak yang mengawal selia sebarang acara penganjuran dalam negara.

Katanya, buat masa ini hanya satu laporan polis dibuat berhubung kemalangan yang menimpa tiga peserta program itu iaitu kesalahan penganjuran tanpa kebenaran.

Khairy Jamaluddin, diiringi Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Sungai Buloh, Dr Wan Nurzaty Iwanie Wan Mohamad (tiga dari kanan) ketika melawat pelari Klang City International Marathon di Hospital Sungai Buloh, sebentar tadi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Mengikut Akta Pembangunan Sukan, setiap penganjuran program sukan perlu mendapatkan kebenaran Pesuruhjaya Sukan dan jika gagal, ia adalah satu kesalahan.

"Bagi kesalahan ini, pihak penganjur boleh dikenakan denda RM 5,000 dan hukuman penjara tidak lebih daripada enam bulan. Oleh itu satu lagi laporan akan dibuat Pejabat Pesuruhjaya Sukan esok," katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh, di sini hari ini.

Mengikut Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997, sebarang penganjuran sukan perlu mendapat kelulusan PJS, di samping keperluan penganjur mendapatkan kebenaran daripada badan pengelola sukan terbabit termasuk polis, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.

Dalam insiden yang berlaku awal pagi semalam, tiga peserta cedera selepas dilanggar daripada belakang dengan seorang daripadanya kini ditahan di wad ICU Hospital Sungai Boleh kerana mengalami keretakan tengkorak selain pendarahan di kepala.

Sejurus kejadian, seorang pemandu Proton Iswara berusia 27 tahun ditahan, namun keputusan ujian air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif.

Dalam pada itu, Khairy mengesahkan pihaknya sudah mencadangkan untuk satu proses pindaan dibuat ke atas Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997 yang dianggap sudah tidak lagi relevan.

"Ini termasuk memperkenalkan peraturan baru untuk penganjur membuat permohonan kepada PJS, 90 hari sebelum menjalankan sebarang acara. Ini kerana jika permohonan itu dibuat saat akhir sukar bagi kami membuat semakan dari segi tahap kesediaan penganjur.

"Selain itu, saya juga sudah meminta untuk jumlah denda dinaikkan daripada RM 5,000 kepada RM 500,000 kepada penganjur yang gagal mendapat kelulusan untuk menganjurkan acara dengan mungkin hukuman penjara turut dipanjangkan."



Sumber Khairy arah PJS segera buat laporan polis

Related Posts :

0 Response to "Khairy arah PJS segera buat laporan polis"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect