5 Sebab Kenapa Peniaga Jalanan Susah Untuk ‘Sustain’

Ramai memilih untuk berniaga di jalanan kerana berpendapat ianya amat mudah dan mendatangkan keuntungan. Modal yang diperuntukkan juga kecil. Jika bernasib baik, peniaga jalanan akan beroleh keuntungan berganda jika kawasan berniaga itu adalah lubuk tumpuan orang ramai membeli sarapan pagi sebelum bekerja.

Hakikatnya pada zaman sekarang, orang berlumba-lumba mengejar masa ke tempat kerja. Dan perkara paling mudah adalah membeli sarapan di luar kerana kekangan masa pada waktu pagi menghadkan penyediaan sarapan di rumah.

Secara langsung, pernyataan ini membuatkan orang berfikir yang bidang ini mempunyai prospek pelanggan yang ramai dan membawa keuntungan dalam masa yang pantas.

Namun, ketika krisis ekonomi berlaku, kita akan melihat lambakan gerai-gerai kecil ini di setiap laluan di jalan raya seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pelbagai makanan dipertaruhkan untuk mengaut keuntungan segera seperti nasi lemak, laksa, kuih muih, ais blended dan pelbagai lagi. Kemudian, gerai-gerai ini akan hilang begitu sahaja.

Persoalannya, adakah benar perniagaan makanan menjadi pilihan kerana mudah dijalankan? Jika ianya mudah, mengapa kebanyakannya tidak dapat bertahan lama. Tim Majalah Niaga akan mengupas disebalik sebab kenapa peniaga jalanan susah untuk ‘sustain’.

#1-Margin Keuntungan Yang Terhad

 

Makanan yang biasa dijual seperti nasi lemak, nasi kerabu atau kuih muih tidak boleh dinaikan harga sesuka hati kerana ianya tertakluk pada harga yang sama di kawasan sekeliling.

Jika anda menaikan harga contohnya nasi lemak Rm2.50 berbanding peniaga lain di kawasan setempat  Rm1.50 pastinya pilihan pembeli adalah harga yang jauh lebih murah berbanding rasa nasi lemak itu sendiri

Ini menjadikan margin keuntungan untuk produk seperti ini menjadi sangat kecil. Untuk mendapatkan untung yang secukupnya untuk membolehkan perniagaan tadi berterusan, peniaga perlu membuat dan menjual dalam kuantiti yang banyak. Ini merupakan suatu risiko yang sangat jelas.

Sekiranya produk banyak terjual, maka banyaklah untungnya. Sekiranya produk terjual sedikit sahaja, maka peniaga terpaksa menanggung kerugian kerana produk seperti ini mempunyai jangka hayat yang sangat pendek.

#2-Faktor Cuaca

 Kadangkala faktor cuaca mempengaruhi hasil jualan setiap hari. Jika minggu tersebut hujan tidak berhenti, ianya akan memberi impak kepada hasil jualan di mana jualan tidak selaris ketika cuaca terang.

Hal ini akan mendatangkan kerugian kepada peniaga kerana ianya melibatkan kos bahan mentah dan makanan yang dibuat adalah makanan jangka masa pendek.

Kawasan berniaga ketika hari hujan tidak sesuai untuk pembeli memberhentikan kenderaan untuk keluar membeli kerana itu jualan gerai mempunyai risiko ketika cuaca tidak menentu.

Pembeli akan memilih untuk membeli di kedai-kedai atau restoren yang mempunyai tempah berteduh daripada terkena tempias hujan. Selalunya hujung tahun merupakan amaran buat peniaga kerana musim tengkujuh sudah bertandang.


#3-Kos Bahan Mentah Yang Tinggi Dan Tempoh Hayat

Kos bahan basah yang tinggi dan tempoh jangka masa yang pendek adalah salah satu faktor risiko yang perlu dihadapi oleh peniaga jalanan ini. Untuk mendapatkan harga yang lebih murah, pastinya peniaga perlu membeli secara borong. Untuk bahan kering dan tahan lama, ianya tidaklah menjadi masalah.


Tetapi, untuk bahan yang mudah rosak atau perlu dalam keadaan segar seperti kelapa, santan, ayam, ikan dan udang, peniaga perlu berhati-hati dan pandai merancang pembelian. Sekiranya membeli terlalu banyak, stok mungkin akan rosak atau hilang kesegarannya semasa dalam simpanan.

Sekiranya membeli terlalu sedikit, terpaksa pula membayar dengan harga yang mahal. Ini merupakan dilema yang perlu dihadapi dan memberi kesan kepada untung rugi peniaga tadi.

#4-Kos Operasi Yang Tinggi

Apabila jualan mendapat sambutan, peniaga perlu memikirkan tentang kos operasi yang akan meningkat berkali ganda. Sebagai contoh, sekiranya seorang peniaga biasa menghasilkan 200 bungkus nasi lemak setiap hari, dan kemudiannya ingin meningkatkan kuantiti pengeluarannya kepada 500 bungkus, peniaga pasti perlu mengupah pekerja.

Peniaga juga perlu mencari kawasan lain untuk  mendapatkan lebih ramai pelanggan sekaligus menaikkan keuntungan sedia ada bagi menampung kos gaji pekerja dan kos pengangkutan pergi balik tempat jualannya.

Sekiranya margin keuntungan untuk satu bungkus nasi lemaknya 50 sen, peningkatan pengeluaran sebanyak 200 bungkus hanya akan membawa keuntungan tambahan sebanyak RM 100.

Sekiranya peningkatan pengeluaran adalah sebanyak 500 bungkus, peningkatan keuntungan adalah RM 250. Setelah ditolak gaji pekerja dan kos pengangkutan, anda rasa berbaloi atau tidak?

Peniaga juga perlu memikirkan kos-kos lain seperti sewa tapak, komisyen kepada gerai lain yang tolong jual dan juga peningkatan dalam kos utiliti seperti air dan elektrik.


#5- Saingan Yang Ramai

Dalam perniagaan, persaingan itu sudah menjadi lumrah. Berlumba-lumba berniaga produk yang sama dijalanan adalah sudah menjadi kebiasaan yang boleh dilihat di Malaysia.

Lihat sahaja di komuniti tepat tinggal anda, anda akan melihat lebih daripada 5 buah gerai nasi lemak akan ada di kawasan yang sama. Disebabkan kos untuk memulakan perniagaan ini sangat rendah, maka ramai orang lain juga boleh menjalankannya.

Cukup sahaja dengan bermodalkan sebuah meja lipat dan sekaki payung besar, kita sudah boleh berniaga.  Atau dengan mengunakan bonet kereta. Semua orang boleh meniaga samada sedap atau tidak sedap, sambutan hangat atau sambutan hambar, ianya sebenarnya bergantung kepada citarasa pelanggan.



Sumber 5 Sebab Kenapa Peniaga Jalanan Susah Untuk ‘Sustain’

Related Posts :

0 Response to "5 Sebab Kenapa Peniaga Jalanan Susah Untuk ‘Sustain’"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect